Najib Jumpa Presiden Parti Komponen BN Pagi Ini

204
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan mesyuarat dengan presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Jumaat.

Walaupun ia mungkin mesyuarat biasa di antara Perdana Menteri dengan ketua-ketua parti, timbul pelbagai spekulasi mengenai tindakan Najib memanggil mereka.

Selain daripada presiden 13 parti komponen BN, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga akan menghadiri mesyuarat tersebut yang dijadualkan pada pukul 11 pagi Jumaat.

Menurut sumber, ia (mesyuarat) boleh jadi pertemuan antara pengerusi BN dan presiden parti dan bukan mesyuarat majlis tertinggi parti itu yang akan menyaksikan kehadiran lebih ramai pemimpin.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno juga akan dihadiri Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung setiap parti.

“Datuk Seri Najib bertemu dengan presiden parti komponen. Tiada apa-apa luar biasa mengenai pertemuan itu,” kata sumber.

Presiden parti komponen BN bermain teka-teki mengenai pertemuan tersebut.

Presiden PPP, Tan Sri M.Kayveas berkata: “Ia hanya mesyuarat yang kami selalu hadiri dengan pengerusi BN.”