Najib, Isteri Sertai Kemeriahan Sambutan Deepavali

234
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyertai ribuan rakyat Malaysia pelbagai kaum memeriahkan sambutan perayaan Deepavali.

Najib dan isteri memulakan lawatan rumah terbuka Deepavali dengan menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di pekarangan tapak pelancongan terkenal, Batu Caves, di Kuala Lumpur.

Perdana menteri yang segak berbaju kurta berwarna “champagne” disambut Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang juga menteri kesihatan, serta barisan kepimpinan MIC yang lain.

Para tetamu kemudian disajikan dengan pelbagai persembahan serta makanan tradisional kaum India seperti aloo gobi, inji puli, vadai dan prathaman.

Najib yang meluangkan masa 30 minit pada majlis itu turut dikalung bunga malai dan memotong kek sebagai simbolik meraikan sambutan Pesta Cahaya.

Perdana menteri dan isteri kemudian meluangkan masa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Kuala Lumpur.

Majlis di Pusat Konvensyen HGH itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Selain Presiden MAICCI Tan Sri KK Eswaran dan isteri, Puan Sri Vivienne Eswaran serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional, rumah terbuka itu juga disertai ribuan pengunjung pelbagai kaum.

Najib meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati pelbagai juadah tradisional masyarakat India seperti maruku, ladu dan pelbagai manisan.

Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek serta persembahan tarian dan nyanyian pelbagai budaya masyarakat Melayu, Cina, India dan Bhangra.

Sebelum beredar, Eswaran turut mengalungkan bunga malai ke leher Najib dan isteri sebagai tanda penghargaan kehadiran mereka.

Najib dan isteri turut mengunjungi Rumah Terbuka Deepavali yang diadakan di Little India, Brickfields, di sini anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP).

Ketibaan mereka disambut Presiden PPP Tan Sri M. Kayveas diiringi pemuzik Nadeswaran dan tarian kebudayaan.

Pada majlis itu, Najib turut menyalakan lampu Khutu Velukku sebagai simbolik sambutan sebelum acara memotong kek sempena perayaan itu.

Ribuan hadirin termasuk penduduk setempat dan pelancong memeriahkan majlis yang diserikan dengan persembahan tarian tradisional serta nyanyian. – INSIDER