Najib Guna ‘Bangsat’ Bukan Untuk Hina Melayu – DBP

548
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggelar Melayu “bangsat” bukan bertujuan menghina kaum itu tetapi untuk menggegarkan jiwa dan raga ahli Umno, kata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.

DBP dalam kolum tulisan Che Rashid Ismail di Sinar Harian berkata, ada beberapa tafsiran berbeza mengenai perkataan “bangsat” kerana bahasa bersifat arbitrari, iaitu mempunyai keupayaan kesesuaian mengikut konteks dan situasi penuturannya.

“Selaku presiden Umno hasratnya untuk membangkitkan kesedaran dan kesiagaan ahli Umno dalam memartabatkan Umno dan bangsa Melayu agar tidak leka, tidak lupa diri dan sentiasa fokus dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Tidak hairanlah jika perkataan ‘bangsat’ diluahkan.

“Tujuannya bukanlah untuk menghina bangsa sendiri tetapi untuk menggegarkan jiwa dan raga ahli Umno, juga menyatakan kebimbangan yang mendalam supaya bangsa Melayu tidak dihina dan diperlekehkan di negara ini,” katanya.

Katanya, jika dikaitkan dengan dengan kenyataan Najib semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar, Perlis, ‘bangsat’ atau ‘terbangsat’ membawa makna masyarakat atau bangsa yang sudah tidak punya untung nasib, hilang kuasa, hilang maruah dan tiada masa depan.

Katanya, secara tafsirannya, bangsa yang bangsat ialah bangsa yang hina, tiada harga diri serta hidup dalam keadaan yang tercorot dan kecundang, malah lebih teruk dari itu, dan Najib bertegas mengatakan hanya parti Umno yang mampu membawa masyarakat negara ini, khususnya bangsa Melayu jatuh ke lembah kebangsatan.

“Penegasan beliau tersebut lantaran realiti selama ini yang jelas menunjukkan bangsa Melayu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dek kerana perjuangan Umno yang sentiasa fokus kepada tradisi membela rakyat.

“Apabila sesuatu bangsa itu lemah, hina dan tiada maruah, tentu sahaja akan dibenci, ditindas dan mungkin dimaki hamun,” katanya.

Katanya, makna ‘bangsat’ mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah orang jahat seperti pencuri dan lain-lain, merujuk kepada erti kata perbuatan dan merujuk kepada orang yang melakukan perbuatan tidak baik yang sudah tentunya tidak disukai masyarakat.

Makna kedua pula katanya, berdasarkan kata mengikut situasi atau keadaan, membawa erti miskin, iaitu keadaan hidup yang melarat dan menyebabkan masyarakat tersebut dihina.

Manakala makna ketiga yang serupa dengan makna yang diberikan kamus Indonesia, ‘bangsat’ merujuk kepada kutu busuk, iaitu orang yang melakukan kerja jahat seperti mencuri dan mencopet sehingga menimbulkan kebencian dan dimaki hamun masyarakat.

“Ada kala sesuatu perkataan itu membawa sedikit perbezaan makna ketika ditulis atau dalam penulisan berbanding dengan semasa dituturkan.

“Keadaan ini berlaku kerana apabila dituturkan, perkataan tersebut dikemukakan bersama mimik muka, intonasi suara dan gaya penuturnya yang tentunya ada pemberatan makna mengikut persekitaran pengucapan tersebut,” katanya. – INSIDER