Najib Gugat Demokrasi Terima Dana Asing RM2.6 Bilion – Tony Pua

291
0
SHARE

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menerima dana politik RM2.6 bilion dari negara luar, kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata, perbuatan Najib itu satu ancaman kepada negara dan ia dilihat sebagai cubaan untuk berkompromi dengan agen negara asing.

“Orang sebenar yang patut disiasat kerana mengancam demokrasi ialah Najib. Kenapa? Kerana menteri pelancongannya mengakui RM2.6 bilion sumbangan derma diterima dari Timur Tengah,” katanya merujuk kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

“Kita ada parti politik di Malaysia yang menang pilihan raya pada Mei 2013 dengan dana kerajaan asing. Bukankah itu ancaman kepada negara kita?“Itu tak menjadikan Najib berkompromi sebagai agen negara asing? RM2.6 bilion dari negara asing dan oleh itu Najib menang pilihan raya umum menyebabkan kita sekarang menderita di bawah pentadbirannya,” katanya ketika berucap di majlis mengumpul dana DAP di Dewan Sivik Petaling Jaya malam tadi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata dengan dana RM2.6 bilion digunakan Najib untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) maka tidak hairan Pakatan Rakyat (PR) tidak dapat menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU itu.

Katanya, Najib tidak boleh mengisytiharkan dirinya bebas daripada tuduhan salah laku wang RM2.6 bilion berkenaan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri belum memanggil presiden Umno itu.

“Dengan RM2.6 bilion ini, tak peliklah PR kalah dalam PRU lalu. Bagaimana nak menang dengan RM2.6 bilion? Walaupun dengan RM2.6 bilion digunakan, PR masih mampu mencapai hampir 53% undi. Boleh tahan juga.

“Kita menggesa Najib hadir ke pejabat SPRM secara sukarela untuk membersihkan namanya. Jangan tunggu lagi. Cepat ke SPRM, sebelah bangunan saja.

“Pergi SPRM dan jelaskan dari mana derma itu datang dan sama ada derma itu berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Pua malam tadi menarik perhatian hadirin apabila berucap mengenakan pakaian ala banduan selepas dihalang ke luar negara pada bulan lalu.

Katanya, kostum berkenaan bagi menunjukkan kepada Najib bagaimana sukarnya ahli dan parti politik bersusah payah mengadakan majlis untuk mengumpul dana bagi parti menjalankan aktiviti.

“Tahun lalu ketika majlis mengumpul dana, saya bercakap tentang 1MDB dan sebagai ganjaran, saya menjadi ahli Parlimen pertama disaman perdana menteri kerana memfitnah.

“Peguam menasihati saya minggu lalu agar berhati-hati dengan kata-kata kerana jika saya membangkitkan lagi 1MDB saya akan ditangkap dan dibawa ke penjara.

“(Malam ini) sedia untuk ditangkap.Tak perlu tukar terus masuk lokap. Tetapi kebenaran perlu diberitahu dan rakyat Malaysia perlu beritahu kita tak takut,” katanya.

Beliau berkata sudah menjadi kelazimannya sebagai ahli Parlimen di kawasan itu untuk menerangkan mengenai 1MDB pada majlis makan malam tahunan DAP. – INSIDER