Najib Doakan Kejayaan Dua Guru Tercalon Anugerah Guru Global

103
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mendoakan kejayaan dua guru wanita tempatan yang disenarai dalam kalangan  50 guru dari seluruh dunia untuk Anugerah Guru Global 2016.

Perdana Menteri melalui Twitternya menyifatkan pencalonan Noorjahan Sultan dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama di Kuantan, Pahang dan K. Vanesri Kasi dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Khalidi, Muar, Johor, adalah  satu kebanggaan bagi negara.

“Malaysia mempunyai banyak kejayaan yang membanggakan. Antaranya dalam bidang pendidikan, dua guru kita adalah di antara 50 guru-guru sedunia dicalonkan untuk Anugerah Guru Global 2016.

“Walau apa keputusan akhir anugerah tersebut, dua guru ini adalah kebanggaan Malaysia,” katanya dalam entri terbaharu laman sosialnya pada Khamis.

Norjahan, 44 dan K.Vanesri, 25 disenarai pendek daripada 8,000 penyertaan dari 150 negara bagi anugerah berkenaan.

Pada Februari 2016, kesemua 50 calon akan disenarai pendek menjadi 10 finalis dan pada Mac, pemenang Anugerah Guru Global 2016 akan diumumkan dalam satu majlis di Dubai.

Anugerah anjuran Yayasan Varkey GEMS yang berpangkalan di Dubai itu merupakan pencalonan kedua dari Malaysia selepas seorang guru Fizik, Yasmin Noorul Amin, 38, tersenarai dalam kalangan 50 guru untuk anugerah sama bagi 2015.