Najib Berjiwa Besar – MT UMNO

280
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Rata-rata pemimpin tertinggi UMNO menyifatkan ucapan pergulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak melambangkan jiwa besar dan sikap merendah diri apabila menghulurkan kemaafan kepada seteru politiknya.

“Akhirnya beliau mahu perdamaian. Terserahlah kepada pihak yang berkenaan sama ada menyambut huluran itu atau sebaliknya,” komen ringkas Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pula menyifatkan serangan kepada Najib di luar parti itu tidak diterima oleh ahli UMNO di dalam perhimpunan agung.

“Sekurang-kurangnya perhimpunan hari ini membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO masih sayangkan kepada parti.”

Bagi Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Hamzah Zainuddin niat baik Najib wajar disambut dengan semangat bersatu dan berpadu.

“Dalam perjuangan ini persatuan dan perpaduan itu amat mustahak sekali kerana bermulanya UMNO ini ditubuhkan dengan satu nama ‘bersatu’ bermakna perjuangan ini meneruskan satu lagi tradisi untuk kembali bersatu.”

Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula menyifatkan keprihatinan Najib mendengar suara rakyat sebagai satu keperluan untuk ahli mempertahankan presiden UMNO itu.

“Rakyat sebenarnya ternanti-nantikan suara hati mereka didengari. Sebab itu, saya kira amat baik apabila Datuk Seri Najib akan memikirkan secara serius bagaimana hendak menangani kos sara hidup yang hari ini menghimpit dan menghambat rakyat.

“Tetapi semua ini hanya boleh dilakukan¬† jika seluruh warga parti berada dalam satu saf yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Najib yang ditemui usai ucapan pergulungannya menyifatkan ahli UMNO tidak menghadapi krisis kepercayaan terhadap kepimpinannya sebagaimana yang digembar-gemburkan di luar parti.

“Nampaknya semangat dalam UMNO masih kukuh, masih kental. Isyarat Perhimpunan Agung ini jelas.”