Najib Arah Peguam Tuntut Dr Ling Mohon Maaf

142
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Portal berita TV14 hari ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan peguam beliau supaya menuntut bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa meminta Najib melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri.

Kenyataan Dr Ling itu didakwa disiarkan dalam portal berita berbahasa Inggeris dua hari lalu.

Menurut portal berita TV14, surat berhubung tuntutan itu yang diserahkan terus kepada Dr Ling hari ini, dikeluarkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Najib dalam kapasiti peribadi beliau, dan antara lain menuntut Dr Ling memohon maaf dalam masa tujuh hari selepas menerima surat berkenaan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang bakal diambil terhadap bekas menteri pengangkutan itu, kata portal berita berkenaan.

Menurut TV14, peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili firma guaman itu, dalam suratnya kepada Dr Ling menyatakan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat olehnya adalah satu fitnah, dan merosakkan reputasi perdana menteri selain mempunyai kecenderungan untuk merendahkan Najib dalam pemikiran masyarakat.

Portal itu menyatakan bahawa Hafarizam juga menuntut Dr Ling supaya menarik balik kenyataan yang didakwa itu, membuat permohonan maaf tidak berbelah bahagi serta membayar pampasan yang munasabah ekoran kenyataan fitnah itu.

SHARE
Previous articleBekas Peguam Negara Bersara Dari Perkhidmatan Awam
Next articleParlimen Perlu Diberi Masa Teliti TPP – Nurul Izzah