Najib Ambil Peluang Sindir Tun M

2965
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku beliau tidak terkesan dengan tekanan dan kempen membenci beliau yang rancak dilakukan oleh pemimpin UMNO dan pembangkang.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, namun umum mengetahui kenyataan itu ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan penentang dalam UMNO termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Najib juga mengambil peluang di Dewan Rakyat hari ini untuk ‘menyindir’ Dr Mahathir yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkannya.

“Saya tidak hairan perkara ini berlaku sewaktu Tun (Mahathir) menjadi Perdana Menteri dilemparkan (cemuhan) seperti mahazalim dan mahafiraun.

“Tapi sekarang nampak duduk bersama pula,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang bertanya sama ada Najib sedar tekanan dan kempen membenci beliau serta pendirian dengan perilaku tersebut

Mengulas lanjut, Najib menyatakan sebagai Perdana Menteri, beliau bersama rakan-rakan dalam pentadbiran tetap beristiqamah.

“Apa pun serangan kita jangan hilang hala tuju fokus. Kita tetap komited mahu melaksanakan pelan kerajaan.

“Sebagai Perdana Menteri dan rakan dalam pentadbiran, kami tetap istiqamah dan fokus. Apa pun serangan kita jangan hilang hala tuju. Fokus kita tetap komited untuk laksanakan pelaburan,” katanya.

Dr Mahathir bersama pimpinan Pakatan Harapan menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib melepaskan jawatannya.

Dr Mahathir juga menerusi blognya mencadangkan kerajaan mengadakan satu pungutan suara bagi mengukur sokongan rakyat terhadap kepimpinan Najib atau menyokong pendirian beliau yang mendesak Najib melepaskan jawatan. – FMT