Naib Presiden Warisan Masuk Hospital

39
0
SHARE

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony, yang ditahan reman berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah dimasukkan di sebuah hospital swasta, di sini, malam tadi.

Difahamkan, Peter dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik selesai proses sambungan tahanan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, petang semalam bagi menjalani rawatan berkaitan darah tinggi dan kekurangan air dalam badan.

Sumber memberitahu BH, setakat pagi ini Peter masih berada di hospital berkenaan dan hanya dibenarkan keluar selepas mendapat pengesahan pihak hospital.

Semalam, Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan Peter disambung reman tiga hari iaitu sehingga esok, selain mendapatkan rawatan kesihatan berdasarkan permintaan peguamnya.

Jumaat lalu, Peter bersama seorang ahli perniagaan direman lima hari sehingga semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana awam kira-kira RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.