Naib Ketua Pemuda AMANAH Ditahan 24 Jam Bawah Akta Hasutan

132
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin ditahan selama 24 jam di bawah Akta Hasutan atas dakwaan menulis sebuah makalah yang menghasut rakyat merusuh di jalan raya.

Shazni yang diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi diberitahu pegawai penyiasatan daripada Bukit Aman sebentar tadi bahawa dia ditahan mandatori 24 jam untuk siasatan.

Shazni tampil ke IPD Dang Wangi dengan ditemani peguam, Lim Lip Eng.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara (IGP), Datuk Seri Khalid Abu Bakar menulis di Twitter, “PCRIC dan Unit Siasatan Khas D5 @PDRMsia ambil tindakan ke atas penghasut ini” yang memaparkan gambar Shazni dengan pautan artikel daripada blog www.malaysia-today.net dengan tajuk ‘Kerajaan Malaysia hanya boleh ditumpaskan dengan rusuhan besar-besaran’.

Peguam memaklumkan Shazni disiasat di bawah Seksyen 504 and Akta Hasutan berkenaan makalah yang disiarkan www.bicara.news dan dipetik oleh blog malaysia-today.net Jumaat lalu.

Shazni bagaimanapun berkata makalah yang disiasat itu telah diputarbelit daripada makalah asal yang disiarkan dalam portal Free Malaysia Today, bertajuk “Selepas Setahun GST, Kita Makin Senang Atau Susah” yang diterbitkan Khamis lalu.

Sebelum menyertai AMANAH pada tahun lalu, Shazni merupakan bekas aktivis mahasiswa yang aktif dengan Gerakan Mahasiswa Islam (Gamis) dan Pemuda PAS Johor serta pernah menjawat jawatan Pegawai Akhbar di Pejabat Menteri Besar Selangor.