Nahas Basikal: Perbicaraan Bermula 28 Ogos

3
0
SHARE

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Trafik, di sini hari ini menetapkan 28 Ogos ini sebagai tarikh perbicaraan seorang jurujual wanita yang didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari lalu.

Tarikh perbicaraan bermula 28 hingga 30 Ogos, diikuti 4 hingga 7 September sebelum disambung pada 28 hingga 30 November seterusnya dari 4 hingga 7 Disember ditetapkan Majistret Siti Hajar Ali selepas mempersetujui cadangan tarikh dikemukakan pihak pendakwaan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Roslan Mat Nor mengemukakan tarikh berkenaan bagi memudahkan 39 saksi untuk hadir ke mahkamah kerana sebilangan besar saksi adalah kanak-kanak yang bersekolah.

Peguam Faizal Mokhtar yang mewakili tertuduh, Sam Ka Ting, 22, turut bersetuju dengan cadangan tarikh dikemukakan pihak pendakwaan.

Pada 28 Mac lalu, Ka Ting mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik, di sini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dalam kejadian pada 18 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di Jalan Lingkaran Dalam di sini, secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.