Mysuara Rangkul Anugerah Media Sosial DBP

221
0
SHARE

Oleh Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Kumpulan media baharu MySuara mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Anugerah Media Sosial sementara penulis kanan MySuara, Faizal Riduan turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kewartawanan Media Sosial yang membawa pulang wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan.

Radio MySuara FM dan penyampainya, Arin Noor masing-masing turut tercalon sebagai finalis Anugerah Media Elektronik (Radio) dan Anugerah Kewartawanan Media Sosial.

Malam DBP Bersama Wartawan 2015 pada malam tadi telah mempertandingkan lapan anugerah media yang dikategorikan untuk institusi media dan wartawan dari kategori media televisyen, media radio, media cetak dan media sosial yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Awang Sariyan.

Dr Awang yang ditemui selepas majlis berkenaan menyifatkan tahun 2015 sebagai memperlihatkan hubungan rapat dan sinergi antara DBP dan rakan media.

“Berdasarkan data dokumentasi DBP sehingga November tahun ini, sebanyak 659 artikel diterbitkan di akhbar dan 52 liputan siaran televisyen dan radio. DBP amat berbesar hati dengan kerjasama pihak media yang begitu hebat dan bersedia memberikan sokongan terutama mempromosikan perkhidmatan, produk serta menyebarkan maklumat mengenai isu bahasa, sastera dan persuratan Melayu,” jelasnya.

Ikuti kami di www.mysuara.net / www.mysuarafm.com / www.mysuara.tv