BUKA BUKU: Revolusi Hijau Dan Nabi Nuh AS

667
0
Oleh: Faizal Riduan
Seperti terkena badi tajuknya, saya tidak dapat membaca buku ini kerana berada di dalam zon ‘panas, rata dan sesak’ dari proses pembeliannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur lalu membawa ke rumah di pinggir kotaraya Kuala Lumpur. Akhirnya saya memilih untuk membaca di persekitaran ‘sejuk, tinggi rendah dan lengang’ di Hutan Simpan Royal Belum iaitu hutan dara terbesar dengan keluasan 117,500 hektar atau kira-kira empat kali saiz negara Singapura dan berusia 130 juta tahun yang lebih tua dari Hutan Amazon!

 

Pengalaman membaca buku di dalam persekitaran ‘yang sepatutnya’ sungguh menyeronokkan dan pastinya dicemburui oleh Thomas L Friedman. Malah saya syorkan aktiviti kembara buku ini seperti inisiatif Izwan Wahab, Ketua Operasi Baca@LRT iaitu sebuah kempen gerakan massa, “Rakyat membaca di mana-mana”. Malah membacanya semula dalam krisis banjir besar di Kuala Krai, Kelantan tahun lalu pasti lebih realistik, traumatik dan sentimental.

Sama seperti buku-buku sebelumnya, “Lexus dan Pokok Zaitun” serta “Dunia Sama Rata”, “Panas, Rata dan Sesak” memberikan sudut pandang yang baharu yang bisa mengubah 180 darjah anak mata berjuta-juta pembaca di seluruh dunia. Estetika lingustiknya jelas mempersona dengan bukan sekadar bahasa literalnya sahaja, dia memulakan bab satunya dengan pertanyaan holistik, “Mengapa Citibank, bank di Iceland dan bongkah ais di Antartika semuanya cair pada masa yang sama?” dan bukan menyempitkan perbahasan isu hijau hanya tentang kenaikan suhu, aras laut, teras ais, kepupusan terumbu karang dan mendapan tasik dan lautan sebagai mana yang ditemui dalam tulisan-tulisan kaku sarjana alam sekitar yang membosankan!
Ditambah dengan petikan kenyataan dari buku, majalah, akhbar dan individu persendirian termasuk temubual peribadi dari mereka yang terlibat dalam pembuatan dasar, pemain industri, pencinta alam dan komuniti setempat, menjadi seolah rantaian titipan kata-kata hikmah. Membacanya membuatkan anda percaya bahawa buku ini bukanlah ucap suara unilateral Friedman sebaliknya adalah suara multilateral seluruh warga dunia yang mahu hidup untuk 1,000 tahun lagi.
Malah banyak babak monolog penulis buku ini yang dilahirkan pada 20 Julai 1953 semasa populasi manusia berjumlah 2.681 bilion mengusik empati pembaca. Dia turut membayangkan jika dapat hidup sehingga usia 100 tahun bermakna dia akan berkongsi dunia ini dengan lebih sembilan bilion orang pada 2053 mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lebih sinikal Friedman mendakwa yang manusia perlu menakluki tiga buah planet lagi! Sungguh fantastik dan imaganatif – sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan selama ini.
Keseluruhannya buku ini memfokus kepada lima masalah utama berlakunya pemanasan, perataan dan kesesakan dunia dengan angka-angka dan graf-graf yang dramatik iaitu peningkatan permintaan kekayaan ke negara kaya minyak dan ditaktor minyak secara besar-besaran; perubahan iklim yang membawa bencana; kemiskinan tenaga yang membahagikan dunia kepada dua blok, negara yang mempunyai kuasa elektrik dan yang tidak mempunyai tenaga elektrik; serta kehilangan biodiversiti secara drastik disebabkan kepupusan tumbuhan dan haiwan yang direkodkan.
Tanpa apolegetik, Friedman membidas tanah tumpah darahnya sebagai penyebar virus penyakit ‘affluenza’ dan pesakit-pesakit ‘Americans’ dari Doha ke Dalian dan dari Calcutta ke Casablanca ke Kaherah yang tinggal di rumah gaya Amerika, memandu kereta gaya Amerika, makan makanan segera gaya Amerika dan menghasilkan sampah sarap sebanyak di Amerika seolah-olah satu demografi seluruh dunia dihuni oleh sebegitu banyak ‘orang Amerika’! Salinan karbon peta Amerika ini sangat mencemaskan sehingga Michael V Hayden, Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) menyatakan bahawa penganalisisnya percaya trend yang paling dibimbangi di dunia sekarang bukanlah keganasan tetapi corak demografi.
Dengan melihat dunia yang semakin panas, rata dengan kemunculan kelas pertengahan dengan kuasa beli yang tinggi di seluruh dunia dan sesak dengan pertambahan penduduk dunia secara berterusan kira-kira satu bilion setiap 13 tahun, Friedman telah membuktikan bagaimana pasca 9/11, Taufan Katrina dan dunia di hujung jari ekoran dengan pasport ‘internet tanpa negara’ yang diakses oleh tiga bilion manusia maka isu iklim dan tenaga bukan soal kecil dan terpencil sebaliknya era baharu iaitu Era Tenaga-Iklim yang membawa revolusi teknologi tenaga boleh menjadi ‘penawar mujarab’ dan ‘racun berbisa’.
Kemudian dengan penuh bertanggungjawab, penulisnya yang juga warganegara Amerika Syarikat mengesyorkan keperluan negaranya menerajui revolusi ini melalui Presiden Revolusi Hijau yang pertama dan Baiah Baru Hijau dengan dipacu oleh generasi hijau. Pengharapan beliau nyata tinggi kerana kali pertama dan terakhir komitmen kerajaannya dapat dilihat semasa kepimpinan Al-Gore, mantan Timbalan Presiden yang juga penerima hadiah Nobel Keamanan 2007 selepas menerbitkan filem dokumentari An Inconvenient Truth.
Friedman menulis dari pengalaman ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ pada dekad yang lalu yang disifatkannya sebagai kelas kesarjanaan di tapak penyelidikan kumpulan Pemuliharaan Antarabangsa (CI) di beberapa tompok panas biodiversiti dan kawasan terancam lain – dari tanah bencah Pantanal di barat daya Brazil hingga ke hutan hujan Atlantik di bahagian pantai Brazil, dari hutan belantara Guyana Shield di selatan Venezuela hingga ke stesen penyelidikan burung macaw di Rio Tambopata di tengah hutan Peru, dari bahagian tanah tinggi Shangri-La di bahagian Tibet yang dikuasai China hingga ke hutan tropika di Sumatera dan pulau terumbu karang di Bali, Indonesia.
Lebih awal dari itu, dia pernah berkelana seorang diri ke Masai Mara di Kenya, Ngorongoro Crater di Tanzania, ke kawasan kontang luas terbang di Empty Quarter di Padang Pasir Arab Saudi dan ekspedisi ke kubah garam di Laut Mati. Membaca travelog Friedman memberikan pengalaman melancong ke destinasi bencana ekosistem rentas benua. Jika Amerika Syarikat mengkagumi Christopher Columbus sebagai penemu ‘Dunia Baru’ maka tidak salah untuk mengangkat adiwira pengembaraan abad ke-20 dan 21, Friedman sebagai penemu ‘Dunia Lama Yang Bermasalah’.
Namun apakah penyelesaian bagi semua permasalahan biodiversiti ini? Ada yang beranggapan kunci permasalahan tenaga ini cuma satu, tiada pendua iaitu pereka cipta yang sebijak Thomas Edison yang akan merekacipta penemuan ajaib bagi menjana kuasa berlebihan, bersih, boleh diharap dan murah.
Jawapan ringkas Friedman penuh dengan falsafah kebijaksanaan, “Kita perlukan sejuta Nabi Nuh bersama sejuta bahtera Baginda!” Seperti pelaksana sunah ‘Nabi Nuh’, Dr Jatna Supriatna seorang profesor bioantropologi dan Arifin Panigoro seorang usahawan tenaga yang ditemui Friedman di Batang Toru dan Batang Gadis, Indonesia, saya yang menginap tiga hari dua malam di Belum Rainforest Resort bagi mentelaah buku 579 muka surat juga boleh berbangga dengan pemiliknya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar seorang pemaju hartanah kos rendah dan sederhana yang boleh dikatakan sebagai ahli sunah ‘Nabi Nuh’ di Malaysia dengan Pulau Banding sebagai bahteranya. Malangnya tidak kurang ramainya golongan anti-hadis ‘Nabi Nuh’ di Pantai Timur, Utara dan Barat Daya Malaysia yang menarah gunung-ganang dan bukit-bukau hutan dara.