BUKA BUKU: ADAB DIALOG DALAM ISLAM

948
0

Oleh: Faizal Riduan

Adakah masih ada dialog dalam Islam? Kita tertanya sendiri tatkala melihat polemik berkaitan umat dan agama Islam apatah lagi yang mencabar status Qua Vadis ahli Sunnah Wal Jamaah, ulama dan pihak berautoriti agama. Anehnya di satu pihak kelihatan seperti katak yang duduk bergelap di bawah tempurung minda yang membutakan kebenaran sementara satu pihak lagi tidak ubah seperti ikan di dalam balang kaca yang sekadar luas pemandangan tetapi tidak boleh mengecap nikmat kebebasan bergerak dalam ruang awam. Dua situasi yang berbeza tetapi kesannya tetap sama – tidak membina!

Sebenarnya ada banyak buku cendekiawan Islam yang memperkatakan tentang adab berselisih pendapat dalam dialog dan muzakarah. Antara buku yang terbaik dalam kelas ini ialah “al-Kifayah fi fann al-Jidal” karya Imam al-Haramain, “al-Ma’unah fi al-Jidal” karya Syirazi, “Tarikh al-Jidal” karya Muhammad Abu Zahrah, “Adab al-Iktilaf” karya Dr Taha Jabir al-Alwani dan “Adab al-Hiwar” karya Dr Muhammad Sayyid Tantawi. Namun bagi yang tidak arif berbahahasa Arab, buku “Adab al-Hiwar” kini boleh dibaca setelah dialih bahasa oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan tajuk “Adab Dialog Dalam Islam” setebal 602 muka surat.

Buku ini merupakan kajian tentang adab-adab berdialog dalam Islam yang diambil daripada intipati al-Quran, al-Sunah al-Nabawiyyah dan kata-kata ulama muktabar. Ia menjelaskan bahawa syariat Islam membuka pintu perbahasan yang bijaksana berdasarkan mantik yang betul, adab yang tinggi dan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam lingkungan ilmu yang berguna, kefahaman yang tajam, percakapan yang tinggi budi bahasa serta hati yang putih bersih daripada sifat riak, hasad, ego, mengikut nafsu, kepentingan peribadi dan prejudis tanpa sebab atau bukti yang munasabah.

Ia turut memaparkan bahawa secara semulajadinya, dialog sesama manusia adalah penting kerana manusia tidak terlepas daripada berdialog sesama mereka dalam hubungan sehari-hari dan dalam urusan yang berkait dengan makan, minum, pakaian, ubat-ubatan, hak dan kewajipan.

Perbezaan pandangan antara manusia dari aspek tujuan, matlamat dan fikrahnya juga merupakan satu perkara yang penting. Perbezaan ini disebabkan beberapa faktor yang antaranya, terang nyata dan ada juga yang tersembunyi. Syariat Islam mengariskan beberapa prinsip dalam berbahas, berdebat ataupun berdialog agar ia berlaku dalam suasana yang membina dan hasil yang dicapai adalah baik.

Lebih indah lagi, rakaman beberapa bentuk dialog yang berlaku antara para rasul dengan kaum mereka, yang berkisar di sekitar keesaan Allah SWT, hari akhirat, hisab, dosa dan pahala serta dialog tentang Al-Quran dan kata-kata yang diucapkan oleh orang yang bodoh sombong tentang hal ini serta jawapan terus dari Allah SWT ke atas mereka. Penyampaiannya sangat mendalam dengan melihat dari pelbagai sumber perawi yang diperjelaskan lagi oleh pengarangnya nyata memberikan kefahaman berbanding pemahaman secara harfiah dalam terjemahan Al-Quran.

Turut dirakamkan semula ialah beberapa contoh dialog yang berlaku antara ahli kitab secara amnya dan Bani Israel khususnya serta dialog dengan orang munafik yang mengucapkan apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dialog dalam bentul soal jawab antara orang baik dengan orang jahat ataupun di kalangan orang jahat sesama mereka dan orang baik sesama mereka serta antara ahli syurga dengan ahli neraka turut dipaparkan secara dramatik sekali.

Tidak keterlaluan dikatakan buku ini terbit tepat pada masanya ketika kemuncak ketidakfahaman umat Islam tentang dialog yang menyihatkan, menyegarkan dan menjernihkan yang kelihatan dalam kecelaruan feminisme Sisters in Islam (SIS) yang selalu prejudis dengan lelaki muslim yang dipukul rata sebagai pembawaan Islam yang ideal, anutan liberalisme dan pluralisme yang menyamaratakan semua agama dan menolak proses dan penginstitusian Islam dalam kerajaan, perbalahan tentang kebolahan orang bukan muslim memasuki masjid dan meraikan perayaan muslim, konftrantasi bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan ulama lainnya, penggantian istilah muzakarah kepada muqabalah dalam pertemuan dua parti Islam, UMO dan PAS serta terbaru perebutan nama Allah SWT oleh gereja Kristian.

Fenomena kehilangan adab seperti ini selalu dikupas oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya “Islam and Secularism”. Malah pada tahun yang sama 1973, beliau mengingatkan umat Islam mengenai ilmu pengetahuan yang bersifat tidak bebas nilai dalam Risalah, “Kita harus mengetahui dan menyedari bahawa sebenarnya ilmu pengetahuan tidak bersifat neutral; bahawa setiap kebudayaan memiliki pemahaman yang berbeza-beza mengenainya meskipun di antaranya terdapat beberapa persamaan. Antara Islam dan kebudayaan Barat terbentang pemahaman yang berbeza mengenai ilmu, dan perbezaan itu begitu mendalam sehingga tidak boleh dipertemukan.”

Apa yang dapat dilihat dalam kenyataan berbalas pihak-pihak bercanggah pendapat lebih kepada memulangkan paku buah keras. Kenyataan balas biasanya bertindak dalam dua cara iaitu bersifat ofensif dan difensif secara serentak, di tahap ini di satu pihak berharap, pihak yang satu lagi akan kecundang di medan tempur hujah. Sifat tawaduk tunduk kepada kebenaran seperti yang dijelmakan dalam diri Balqis Ratu Saba, Hercules Raja Rom dan Najasyi Raja Habsyah bagaikan tidak tersirna walhal mereka ketika itu berada di tampuk teragung sebuah kerajaan yang besar.

Sifat ‘perasan bagus’ dan ‘syok sendiri’ ini memantangkan penuturnya dari dikritik sedangkan Allah SWT mengingatkan Nabi Musa yang mendakwa dirinya manusia yang paling berilmu apabila ditanya soalan tersebut oleh kaumnya. Inilah yang membawa kisah pertemuan Baginda dengan Nabi Khidir setelah direkemendasi oleh Allah SWT dalam firmannya, “Sesungguhnya Aku ada seorang hamba di Majma’ al-Bahrayn yang ilmunya lebih banyak daripada kamu”.

Namun sayangnya hari ini, ilmuan Islam juga terpalit dengan budaya berdialog menggunakan kerangka fikir Yunani melalui debat dialektis iaitu “membuktikan orang lain betul dengan cara membuktikan orang lain salah”. Obesesi debat seperti ini sebenarnya seputar menelanjangkan aib lawan untuk memperoleh kemenangan mutlak bukan dengan kekuatan sendiri sebaliknya atas manipulasi kelemahan pihak lawan. Justeru sepandai-pandai ahli falsafah Yunani pujaan golongan liberal rupanya mereka sekadar pandai membuktikan satu sama lain sebagai salah!

Lebih parah lagi, akar akal sebegini menjalar hingga mencecah lapisan tauhid sehingga timbul dialog yang sia-sia seperti, “Apakah al-Quran itu makhluk ataupun bukan makhluk?”, “Perlukah doa Qunut dalam solat Subuh?”, “Selawat Syifa bercanggah dengan akidah” dan “Bacaan talqin, tahlil, yasin sebagai satu bidaah”. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”.

 

Sumber