Mykmu Persenda Tun M Melayu Tulen?

289
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sebuah portal pro-Umno yang memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus membidas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik presiden parti Melayu itu.

Kali ini, Mykmu.net mempersendakan keturunan Dr Mahathir yang dilaporkan berasal dari Kerala, India.

“Tidak ada seorang pun yang tahu tentang rahsia dan kisah silam Tun M sendiri. Dan penulis yakin, sekiranya kita tahu tentang latar belakang beliau, semuanya baik-baik belaka. Apatah lagi beliau ‘tidak pernah berahsia’ dengan kita semua, bukan?

“Kita tahu bahawa Tun M berketurunan Melayu tulen. Hidupnya lebih ‘zuhud’ dari Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hidupnya ‘miskin’, ‘papa kedana’, cuba periksa akaun peribadinya. ‘Miskin’, bukan?

“Kita juga tahu bahawa Tun M tidak pernah mempunyai kroni. Beliau tidak pernah tolong anak-anaknya atau sahabat-sahabat karibnya sehingga ramai di kalangan mereka yang hidup ‘melarat’ dan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan sampai mati’, kan?” kata penulis itu.

Artikel itu juga memaparkan imej 20 jutawan terkemuka di Malaysia, termasuk anak Mahathir Datuk Mokhzani.

Meneruskan sindiran itu, artikel berkenaan berkata sepanjang tempoh 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau begitu telus dalam pemberian kontrak.

“Beliau tidak pernah memberikan sebarang kontrak ‘direct nego’ kepada sesiapa. Malah semua kontrak kerajaan di bawah pentadbirannya juga diiklankan besar-besar di akhbar-akhbar arus perdana…

“Di zaman beliau juga tidak pernah berlaku ‘ketirisan’, ‘penyelewengan’ mahupun ‘salahguna kuasa’.

“Lebih mengharukan, jika ada mana-mana kabinet di bawahnya yang melakukan kesalahan, beliaulah ‘hero’ yang mengambil tindakan undang-undang pada menteri-menteri kabinetnya.

Artikel itu adalah sebagai respons kepada kenyataan Mahathir baru-baru ini bahawa beliau tahu banyak rahsia mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walau bagaimanapun, bekas perdana menteri itu enggan mendedahkan butiran.

Sementara itu, artikel itu juga mengkritik Mahathir yang dikatakan sebegitu terdesak sehingga sanggup menuduh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan khidmat bomoh.

“Seingat penulis, Tun M tidak pernah percaya pada perkara mistik.

“Sebagai contoh, beliau pernah menuduh Mursyidul Am PAS, Datuk Ustaz Haron Din Al-Hafiz menjual ‘air jampi’ yang beliau anggap ‘karut’.

“Mungkin air yang diletak dalam halaqah jemaah masjid yang membaca surah Yaa Sin setiap Jumaat itu juga ‘karut’ tentang keberkatan baginya?’ kata artikel itu lagi.

Mahathir kini lantang berkempen untuk menyingkirkan Najib dan menuduh bekas anak didiknya melakukan pelbagai salah laku.

Perdana Menteri menafikan dakwaan tersebut dan seterusnya mendakwa ada komplot bagi menggulingkannya. – INSIDER