Muslimat PAS Selangor Beri Amaran Keras Pada Azmin

31
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerana sepotong tweet, Menteri Besar Selangor Azmin Ali terus diserang segenap penjuru.

Terbaru, Muslimat PAS Selangor tampil memberi “amaran keras” kepada Azmin selepas beliau dikatakan menyindir kekalahan teruk Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dalam pemilihan parti peringkat kawasan.

“Orang yang lupa daratan tidak boleh dijadikan kawan.

“Sekali lagi Muslimat PAS Selangor memberi peringatan kepada Datuk Seri Azmin supaya jangan mencabar kesabaran kami dan jangan merasa terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.

“Muslimat PAS Selangor menyifatkan DS Azmin umpama kacang lupakan kulit dan tidak tahu menilai erti persahabatan sejati,” kata ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan.

Tanpa menamakan, Azmin Selasa lalu mempersendakan kekuatan seorang tok lebai yang bercita-cita hendak menawan Selangor, walaupun “kalah tersungkur” di kawasan sendiri.

Nik Abduh kalah teruk dengan 37 undi pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.

Dalam kenyataannya semalam, Hasrina berkata sindiran Azmin itu “mencabar kerjasama politik antara PAS dan PKR yang sudah mula retak dek tindakan pemimpin mereka sebelum ini”.

Hasrina juga membangkitkan sokongan PAS terhadap Azmin untuk ke jawatan itu sebelum ini.

“Datuk Seri Azmin sepatutnya sedar bahawa keberadaan beliau di kerusi Datuk Menteri Besar Selangor adalah atas cadangan daripada PAS.

“Kalau nak harapkan daripada parti beliau sendiri, langsung nama beliau tiada dalam senarai,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Azmin supaya “jangan mencabar kesabaran kami” dan jangan merasa terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.

“Muslimat PAS Selangor menyifatkan Datuk Seri Azmin umpama kacang lupakan kulit dan tidak tahu menilai erti persahabatan sejati,” katanya.

Sementara itu, kenyataan Muslimat PAS Selangor itu turut mengundang reaksi balas Wanita PKR negeri yang mahu kenyataan itu ditarik balik serta-merta.

“Guna saluran yang betul jika ingin luahkan rasa tidak puas hati daripada menjadi budak suruhan Nik Abduh, yang dilihat sangat mesra dengan Umno,” kata Ketua Wanita PKR Selangor Haniza Talha.

Katanya, sebagai anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dilantik oleh kerajaan negeri, Wan Hasrina bertanggungjawab mempertahankan hubungan kerjasama antara parti-parti yang bekerja keras membangunkan Selangor.

“Sebaliknya, Wan Hasrina menyerang dan mengutuk Kerajaan Selangor dan Datuk Menteri Besar dengan kenyataan yang tidak berasas.

“Kami beranggapan, kritikan beliau tidak menggambarkan semangat persefahaman yang dinikmati oleh PAS bersama Pakatan Harapan,” katanya.

SHARE
Previous articleMukhriz Sambut Cabaran Berdebat Dengan Bekas Pembantunya
Next article9 Anggota Daesh Ditahan – KPN