Mukhriz Sindir Jamal Yunos Tanding Jawatan Ketua Pemuda UMNO

21
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini menyindir hasrat Datuk Jamal Yunos bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

“Itu idea yang bagus. Saya sokong 100% jika saya masih dalam Umno,” kata Mukhriz, yang bertanding untuk jawatan itu pada 2009, kepada FMT di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata hasrat Jamal menawarkan dirinya sebagai calon menunjukkan hala tuju Pemuda Umno yang gagal menarik para cendekiawan atau mereka yang ambil berat tentang masa depaan negara, katanya.

“Sebaliknya, PPBM menarik minat golongan cendekiawan dan profesional secara besar-besaran.

“Jadi, saya rasa, tiada orang lagi dalam Umno,” katanya, seolah mencadangkan ramai ahli PPBM daripada parti itu.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Jamal menyatakan hasrat bertanding jawatan Pemuda itu jika Khairy tidak mahu lagi.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata langkah itu antara pilihannya jika tidak ada kerusi Parlimen atau DUN untuknya pada pilihan raya umum ke-14.

Ahli politik yang terkenal dengan gimik tunjuk perasaan terhadap kerajaan Selangor mendapat sokongan ahli majlis tertinggi Umno dan menteri Datuk Seri Nazri Aziz, dan dikritik pembangkang.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Pemuda Umno mesti kekurangan calon berkualiti jika mereka sokong Jamal, sambil menambah pilihan sedemikian menunjukkan bakat yang ada dalam kalangan Pemuda Umno.

“Jika Jamal calon terbaik mereka, maka Jamal pemimpin yang patut mereka terima. Mungkin mereka memerlukan seseorang seperti Jamal untuk menggerakkan akar umbi mereka,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Batu PKR Tian Chua berkata Umno sangat terdesak sehingga bergantung kepada Jamal untuk menyelamatkan mereka dan memainkan isu perkauman.

Jamal pemimpin Gerakan Baju Merah yang menganjurkan perhimpunan balas Bersih 2 tahun lalu dan juga mengganggu konvoi anjuran Bersih di seluruh negara menuju ke perhimpunan Bersih 5 19 November tahun lepas.