Mukhriz Penyatu Perpaduan, Sukan, Perniagaan – Rakyat Kedah

168
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tempoh Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah ke-11 berakhir semalam, tetapi rakyat negeri itu berkata mereka akan terus mengingati beliau terutama dari segi caranya merangsang bola sepak negeri, memberi inspirasi kepada ahli perniagaan tempatan dan menyatukan masyarakat dengan kaedah yang tidak mampu dilakukan pemimpin Umno lain.

Seorang pemimpin akar umbi Umno, Zahran Abdullah berkata Mukhriz adalah seorang pemimpin yang menyatupadukan rakyat, tanpa mengira usia dan bangsa.

“Legasi yang ditinggalkan Mukhriz paling ketara adalah beliau menjadi agen penyatuan semua golongan masyarakat tidak kira usia tua, muda dan jenis bangsa.

“Seperti saya yang berniaga sendiri dan mempunyai rakan niaga bangsa lain, mereka nampak karismatik Mukhriz sebagai agen penyatuan.

“Beliau mempunyai kaliber menyatukan semua masyarakat,” kata ketua Umno cawangan Bandar Laguna itu kepada The Malaysian Insider.

Selain menjadi agen penyatuan, kaedah dakwah yang dibawa Mukhriz juga turut dipuji apabila beliau mendekati sekolah pondok, yang secara tradisinya merupakan asas kepada parti PAS, musuh Umno, dengan memastikan kewangan mereka.

Dengan cara ini, beliau membawa lebih perpaduan kepada negeri itu di mana pengundinya berpecah antara yang menyokong Umno yang memperjuangkan Melayu dan PAS yang berorientasikan Islam.

“Kita lihat pendekatan itu, yang terkini diperkenalkan Mukhriz, berbeza dengan pemimpin Umno terdahulu.

“Apa yang Mukhriz buat, dengan merapati sekolah pondok dan golongan agama itu, lebih praktikal dan lebih baik kerana menunjukkan Umno juga mengutamakan agama dalam kaedah berpolitik,” katanya.

Turut menyokong pandangan Zahran mengenai kaedah dakwah itu, Anuar Abdul Hamid berkata belum pernah pemimpin Umno seberani Mukhriz yang sanggup menjelajah setiap pondok seluruh Kedah.

“Masa awal-awal lagi beliau ambil pendekatan masuk ke pondok. Bukan (macam) Ahmad Bashah yang tidak pernah masuk sekali pun,” katanya merujuk kepada pengganti Mukhriz, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.

“Semua ini dimulakan Mukhriz,” kata Anuar yang tidak menolak ia salah satu faktor mengapa Mukhriz begitu disenangi kawan mahu pun lawan.

Selain itu, ketua cawangan Umno itu juga berkata sepanjang lebih 2 tahun pentadbiran Mukhriz di Kedah, beliau berjaya mengekalkan imej yang baik dan tidak terpalit dengan banyak skandal.

“Beliau mempotretkan imejnya yang bersih dan pada masa sama, membuktikan dirinya seorang yang telus. Integriti dia sangat baik.

“Kita tidak mendengar skandal atau isu rasuah dalam pentadbirannya.

“Malah, gajinya satu sen pun tidak digunakan tapi disalurkan ke sekolah-sekolah pondok untuk membantu mereka dalam urusan seharian,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi pula menyifatkan tempoh yang dipegang Mukhriz mentadbir terlalu singkat tapi legasi yang ditinggalkannya boleh dilihat, antaranya dari segi pasukan bola sepak Kedah yang kini memasuki Liga Super.

“Dalam tempoh singkat 2 tahun lebih, tak sempat apa-apa nak buat pun. Tetapi, tidak dinafikan, (dalam) bola sepak nampak sumbangannya,” katanya.

Seorang anak muda yang menyokong bola sepak Kedah, Nabil Fikri, memuji kesungguhan dan idea yang dibawa Mukhriz dalam mentransformasikan pasukan bola sepak negeri itu setaraf dengan pasukan luar lain.

“Mukhriz berjaya membawa suntikan baharu dan segar dalam pasukan bola sepak. Sekarang pasukan Kedah sudah disegani.

“Program dan aktiviti yang dirancang membuahkan hasil. Malah wang tajaan dalam pasukan bola sepak dicari Mukhriz sendiri untuk membiayai semuanya,” katanya.

Ahmad Farish Abdullah, 34, berkata Mukhriz disenangi semua orang dan beliau menyatukan mereka melalui bola sepak, memberikan kepada warga Kedah satu pasukan yang boleh dibanggakan.

“Rakyat berpecah akibat politik tetapi beliau membawa mereka bersama melalui bola sepak. Dia buat ini semua sebelum filem Ola Bola lagi. Saya rasa, itu satu legasi beliau yang memberi inspirasi,” katanya.

Kamil Zamrie, 27, jurucakap kelab peminat bola sepak Ultras Kedah berkata, Mukhriz pada mulanya menimbulkan rasa kurang senang mereka apabila dia menukar logo pasukan.

Ia menimbulkan kemarahan ramai peminat kerana ia menghapuskan tradisi dan mereka membangkitkan rasa tidak puas hati itu kepadanya, tetapi Mukhriz mengendalikan isu itu dengan sangat diplomatik, katanya.

“Beliau dengar apa yang kami kata. Kemudian, setiap kali beliau mahu menukar atau memperkenalkan sesuatu yang baru, beliau akan meminta pandangan peminat bola sepak.

“Beliau juga mengotakan janjinya. Beliau berkata, memerlukan 3 tahun untuk mengubah keadaan sekitar bola sepak Kedah. Beliau menunaikan janji apabila Kedah berjaya ke peringkat akhir Liga Malaysia dan memenangi liga perdana tahun lepas.

“Peminat bola sepak sini semuanya suka dengan apa yang beliau lakukan dan amat menyedihkan ini semua harus berlaku,” katanya merujuk kepada pemberontakan politik terhadap bekas menteri besar penggal pertama itu.

Kamil berkata, beliau kini berharap prestasi baik pasukan bola itu dapat diteruskan walaupun tanpa Mukhriz. – INSIDER