Muhyiddin Tali Hayat UMNO PRU-14 – Ibrahim Ali

591
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali hari ini menyifatkan nasib UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang bergantung kepada timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tali hayat UMNO pada PRU-14 ini duduk pada Muhyiddin… Kita tengok Muhyiddin betul-betul pemimpin yang boleh membawa budaya UMNO dari segi perwatakkannya dan rumahtangganya,” jelas Ibrahim yang membandingkan pengguguran Muhyiddin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai kes mahkamah.

Justeru itu, Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik semula Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri bagi memastikan UMNO dan BN kembali berpeluang untuk kekal berkuasa di dalam kerajaan persekutuan.

“Kalau (tindakan) bijak, pada saya, Najib mengembalikan semula jawatan timbalan perdana menteri kepada Muhyiddin. Ini boleh menjadi tali hayat kepada UMNO.”

Tambahan Ibrahim, kedudukan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak terjejas apabila kembali kepada Kementerian Dalam Negeri. Jika tidak, jawatan timbalan perdana menteri yang disandang Zahid sekarang tidak akan berguna lagi selepas PRU-14.

“Dia masih jadi menteri. Kalau kasihan, dia (kekal) jadi timbalan perdana menteri setakat untuk dua tahun lagi. PRU-14 kalah, usahkan timbalan menteri, jawatan menteri pun hilang.”

Ibrahim yang sebelum itu ditanya tentang khabar angin bahawa Muhyiddin akan dipecat daripada parti selepas digugurkan daripada kerajaan dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lalu, melihat ia bukan satu petanda yang baik untuk UMNO.

“Orang duduk cakap Muhyiddin akan dipecat 9 September ini, kalau benar ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal dan (UMNO) gali lubang makin dalam,” kata ahli veteran UMNO itu.