Muhyiddin Soal Sebab Apa 1MDB Takut Saman WSJ

208
0
SHARE

PORT DICKSON: Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal sebab di sebalik ketakutan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung tuduhan terbaru yang dilemparkan terhadap syarikat terbabit.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, syarikat tersebut sepatutnya mengambil tindakan dengan menyaman WSJ dan Pengarang Kewangannya, Ken Brown.

“Apahal takut? Ambil tindakan dan saman. Bukan sebab suka-suka nak dia ambil tindakan, kita nak tahu apakah cerita ini betul.

“Selagi tiada tindakan, yang akan bermasalah ialah parti dan kerajaan kerana orang hilang kepercayaan..betul tak?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Kepada Pelajar-Pelajar Cemerlang PT3 Tahun 2015 Yang Mengikuti Tuisyen Percuma di Balai Raya Taman Duyong Intan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri mengimbas bahawa sebelum ini juga 1MDB pernah menyatakan mahu menyaman WSJ tetapi sehingga kini tidak berbuat demikian.

“Dulu dah kata nak saman, tak saman. Bila keluar berita tak betul tak saman. Orang sana dok menunggu. Dia kata bila kamu nak saman saya?,” katanya.

Pengarang kewangan WSJ Ken Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia baru-baru ini berkata, wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri bukan daripada keluarga Diraja Arab Saudi sebaliknya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1MDB.

“Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan dari Arab Saudi tetapi dari syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.” – FMT