Muhyiddin Sahkan Hadiri Mesyuarat MT Malam Ini

113
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Beliau hanya menjawab ringkas ‘ya’ ketika ditanya soalan berkenaan oleh pemberita selepas selesai melawat perhimpunan agung ketiga-tiga sayap UMNO, sebentar tadi.

Muhyiddin yang ditemani isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut mengangguk ketika diajukan soalan adakah beliau akan kekal sebagai Timbalan Presiden parti.

Kepada soalan kemungkinan beliau akan dikenakan tindakan dan dipecat daripada UMNO, Muhyiddin menjawab ‘tidak’ dan menggelengkan kepalanya sahaja sambil terus menuju ke keretanya.

Suasana di perkarangan pintu masuk Dewan Tun Razak bertukar kecoh seketika apabila berlaku tolak menolak di antara pengamal media dengan penyokong serta pasukan keselamatan yang mengawal ketat pergerakan Muhyiddin sehingga ke keretanya.