Muhyiddin Kritik Kerajaan Bukan Langkah Bijak – Annuar

66
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai kurang bijak kerana terlalu lantang mengkritik kerajaan.

Katanya, sebagai pemimpin yang dihormati rakyat, Muhyiddin sepatutnya menunjukkan sikap lebih baik termasuk memberikan input untuk membangunkan negara tetapi perkara sebaliknya terjadi.

“Beliau sepatutnya mempamerkan sikap seorang yang pemimpin yang baik dan tindakannya mengkritik kerajaan tidak harus dilakukannya kerana perkara itu sekadar merosakkan kerajaan sahaja.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya motif beliau. Adakah beliau hanya mahu menunjukkan sikap seolah-olah beliau seorang yang jujur dan berani dalam berpolitik.

Tetapi dalam politik, sikap begitu bukanlah terbaik dan saya fikir beliau kurang bijak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Pejabat MIC di sini tengah hari tadi. Turut hadir, Setiausaha Agung MIC, A Sakthivel dan Ketua Penerangan MIC, Datuk VS Mogan.

Annuar mengulas tindakan Muhyiddin yang lantang mengkritik kerajaan termasuk pendedahan mengenai tawaran lantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad. Annuar berkata, pemimpin yang degil dalam politik bukan seorang pemimpin yang baik dan kelantangan Muhyiddin ketika ini menjadi persoalan kerana hanya merosakkan nama negara.

“Apakah beliau yakin apa yang diperkatakannya benar-benar bagus untuk negara dan memberi kesan baik untuk negara?” katanya.