Mufti Perlis Minta Semua Masjid Adakan Doa Pohon Hujan

119
0
SHARE

KANGAR: Jabatan Mufti Perlis menyediakan khutbah khas Jumaat mengandungi doa Istisqa untuk dibaca oleh imam semasa menyampaikan khutbah kedua solat Jumaat minggu ini.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengharapkan seluruh rakyat bersama-sama memohon kepada Allah agar diturunkan hujan bagi meredakan kepanasan melampau yang melanda negeri ini dan negara.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan semua sekolah di Kedah dan Perlis diarah tutup pada hari ini dan esok.

Keputusan itu dibuat setelah dinasihati Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Kesihatan susulan suhu melebihi 37 darjah celcius.

Perlis adalah antara empat negeri di Semenanjung merekodkan bacaan suhu paling tinggi pada 19 Mac lepas berikutan fenomena El-Nino yang melanda negara sekarang.

Berdasarkan bacaan yang direkodkan pada tarikh itu, Chuping di Perlis mencatat bacaan suhu paling tinggi iaitu 39.5 darjah celcius di ikuti Alor Setar,Kedah yang mencatat 39.1 darjah celcius.

Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis, Muhammad Khalil Ab Jalil pada pukul 12 tengah hari ini, suhu maksimum direkodkan di negeri ini ialah 37.7 darjah celcius. – FMT