Mubarak Dekati Golongan Muda, Tangkis Persepsi Negatif Terhadap Kerajaan

110
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mahu mendekati generasi muda dalam usaha menangkis persepsi negatif terhadap kepimpinan negara yang sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.

Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata ini kerana generasi muda terutama golongan mahasiswa kini berdepan ledakan teknologi tanpa sempadan yang mudah dieksploitasi sehingga boleh menggugat keutuhan negara.

“Mahasiswa pelapis negara. Mereka sentiasa perlu didekati dan dibimbing agar mempunyai jati diri yang tebal serta tidak mudah dipesongkan dalam usaha kerajaan memastikan dasar pembangunan negara tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada jamuan malam sempena perasmian Perhimpunan Agung Mubarak Ke-12 oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di sini, malam tadi.

Abdul Aziz berkata anggota Mubarak akan menggunakan pengalaman luas politik mereka untuk menangkis persepsi negatif dan fitnah pihak tertentu melalui pelbagai program yang dirancang bersama anak muda.

“Antaranya ialah dengan mengadakan program Persidangan Parlimen Mahasiswa dan pelbagai inisiatif yang dapat menyuntik semangat patriotisme dan kebersatuan dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata Mubarak telah memainkan peranan terbaik dengan bersama-sama merangka pelbagai program mendekati generasi muda melalui pelbagai aktiviti ilmiah dan pembangunan jati diri.

“Parlimen Mahasiswa merupakan program hebat dan berpotensi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai mutu dan persona hebat dan holistik.

“Ini melatih mereka menjadi pemimpin dengan kemampuan beraksi seolah-olah di pentas Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung itu.

Terdahulu, Idris menyampaikan Anugerah Tokoh Mubarak 2015 kepada enam bekas wakil rakyat yang banyak berbakti kepada dan menyumbang kepada Mubarak.

Antaranya ialah termasuk bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar, Pengerusi Badan Perhubungan Veteran Umno Perlis Datuk Selamat Saad dan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim.