MRT: Siap Sepenuhnya, Kurang Daripada Bajet Asal

32
0
SHARE

Oleh: Fadhil Daud

KAJANG: Laluan Transit Aliran Massa (MRT) pertama di Malaysia laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam hari ini.

Majlis perasmian telah dilangsungkan di dua lokasi berbeza iaitu di stesen bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) dan di Stadium Kajang yang dihadiri oleh kakitangan pelbagai syarikat, organisasi dan agensi kerajaan yang terlibat dalam pembinaan projek MRT.

Pelancaran telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan gimik menaiki tren MRT dari Stesen TRX bawah tanah.

Dengan pelancaran ini sebanyak 19 stesen dari Muzium Negara ke Stesen Kajang di bawah Fasa Kedua Laluan SBK menyempurnakan keseluruhan laluan SBK sebanyak 31 stesen.

Najib dalam ucapannya berkata, keperluan untuk menyiapkan laluan SBK merupakan item utama bagi menyelesaikan kemasalahatan rakyat dalam isu pengangkutan awam yang tiada berkesudahan.

“Saya sedar  akan kesesakan lalu lintas yang sudah menjadi kebiasaan rata-rata semua jalan di bandar adalah kerana kekurangan tumpuan kepada pengangkutan awam sebelum ini.

“Perjalanan dari rumah ke pejabat pada waktu pagi dan petang cukup meresahkan masyarakat. Lebihan masa yang sepatutnya digunakan untuk kerja produktif dibazirkan atas jalan raya,” ujarnya.

Beliau menegaskan  kerajaan sentiasa komited dalam membanggunkan lebih banyak projek pengangkutan awam “Projek Infra Rakyat” bagi menepati keselesaan dan kemudahan.

Turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Keewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.