MP Pakatan: GST Tak Perlu Jika Putrajaya Utamakan Tadbir Urus Baik

15
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengkritik Pakatan Harapan sering membidas barisan pembangkang yang didakwa hanya mengetengahan dasar-dasar dan langkah-langkah populis yang menurut mereka sebagai tidak realistik.

Salah satu daripadanya adalah idea memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sering mempertahankan sebagai nadi penyelamat ekonomi Malaysia ekoran kemerosotan harga minyak.

Bagaimanapun menurut pemimpin PKR, Wong Chen, tiada apa-apa yang tidak realistik berkenaan dengan janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST jika berjaya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional.

Beliau yang juga ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR berkata, Pakatan Harapan akan memastikan survival ekonomi dengan “tadbir urus yang baik” – satu istilah yang sering dikritik sebagai tidak jelas oleh lawan mereka.

“Pada asasnya, kami akan kembali ke era sebelum GST Malaysia, tetapi mengekalkan sistem laporan GST supaya syarikat-syarikat tidak dapat melepaskan diri daripada pelaporan pematuhan,” kata Ahli Parlimen Kelana Jaya ini kepada FMT.

“Berbalik kepada era sebelum GST juga bermakna kami akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).”

Beberapa ahli ekonomi berhujah GST adalah sistem percukaian lebih komprehensif dan telus berbanding SST. Malah menurut mereka, kekaburan daripada SST membuka kepada eksploitasi oleh perniagaan, sekali gus menyebabkan kehilangan hasil kerajaan.

Bagaimanapun Wong menegaskan, masalahnya bukan dengan SST tetapi dari segi kaedah pelaporan.

“Kami tidak akan membuang sistem perakaunan GST, yang mempunyai perniagaan kos dan kerajaan ada duit yang banyak.”

Beliau berkata, kelemahan asas GST adalah pelaksanaan sistem itu tidak diiringi dengan pengurangan dalam cukai-cukai yang lain, menyebabkan tambahan RM25 bilion setahun diambil daripada pengguna dan perniagaan.

Sehubungan itu katanya, memansuhkan GST adalah perlu untuk memulihkan pasaran dan ekonomi yang menyusut.

Beliau juga berkata, adalah sesuatu yang sia-sia bagi kerajaan untuk menjana RM25 bilion dari segi pendapatan GST hanya untuk menampung kehilangan dana akibat rasuah dan pembaziran.

Merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, beliau menganggarkan 15.5% daripada bajet persekutuan tidak digunakan dengan baik atau berakhir dengan ketirisan.

“Belanjawan nasional kita RM280 bilion. Jika kita memotong item-item yang besar seperti gaji perkhidmatan awam kira-kira RM70 bilion dan pembayaran balik hutang negara sebanyak RM30 bilion, kita tinggal RM180 bilion.”

Sebanyak RM180 bilion itu, menurut Wong, adalah aspek-aspek yang tidak mudah terdedah kepada rasuah dan pembaziran.

Mengikut anggaran beliau, sebanyak 15.5% bermakna kira-kira RM27 bilion tidak digunakan dengan optimum tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu jika disimpan melalui tadbir urus yang baik akan menyaksikan Malaysia boleh memperoleh kredit yang lebih baik.

Pada masa ini, Malaysia diberi penarafan A- oleh Fitch Ratings. Agensi itu berkata Malaysia mempunyai dua kelemahan iaitu hutang awam dan standard tadbir urus, di mana ia boleh menjejaskan rating.

Wong berkata, tadbir urus yang lebih baik dan kepercayaan kredit yang lebih baik akan menghasilkan penjimatan lebih baik kerana negara-negara dengan penilaian yang lebih tinggi akan membayar kadar faedah yang lebih rendah.

“Dengan tadbir urus yang baik, kita boleh meningkatkan rating daripada A- ke A dan menikmati pengurangan 0.5 hingga 1% ke atas kadar faedah, yang akan diterjemahkan kepada penjimatan antara RM5 bilion dan RM7 bilion dalam pembayaran balik hutang.”

Beliau juga berkata, tadbir urus yang baik akan meningkatkan prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan yang seterusnya akan melihat kerajaan meraih dividen tambahan sekurang-kurangnya RM4 bilion.

Menunjuk kepada anggaran Lembaga Hasil Dalam Negeri bahawa RM23 bilion hilang setiap tahun akibat sikap pihak-pihak yang mengelak cukai, beliau berkata, tadbir urus yang baik boleh mengurangkan separuh cukai yang cuba dielak atau sekurang-kurangnya RM12 bilion kembali dalam bentuk pendapatan cukai.

Beliau menambah, gabungan pendapatan tambahan dan pengurangan akibat pembaziran dan rasuah akan mengimbangi kekurangan RM20 bilion yang bakal dialami akibat pemansuhan GST. – FMT