MKN Bincang Langkah Tangani Ancaman Pengganas Esok – Najib

153
0
SHARE

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok bagi membincangkan langkah keselamatan yang sudah diambil dan perkembangan terkini termasuk insiden keganasan terbaru di Jakarta, Indonesia minggu lalu.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama kerajaan turut mengarahkan agensi keselamatan negara untuk meningkatkan lagi usaha menangani kemungkinan ancaman keganasan di negara ini susulan serangan pengganas di beberapa bandar besar dunia.

“MKN yang dipengerusikan saya memandang dengan amat serius ancaman daripada pengganas yang bersifat keagamaan melampau.

“Kerajaan bersetuju mengambil langkah tertentu bagi menghalang dan mematahkan sebarang usaha pengganas untuk mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini sebentar tadi.

Najib berkata, beliau yakin dan percaya rakyat Malaysia cintakan keamanan dan keharmonian justeru, semua rakyat perlu bersatu padu bersama kerajaan untuk menangani ancaman pengganas ini.