Minta Air Teh Sebelum Maut Dilanggar

202
0
SHARE

KOTA BHARU – Malang tidak berbau apabila tukang rumah, Zulkifli Zakaria, 22, yang menunggang motosikal ke tempat kerja maut kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Mangsa yang dikatakan turun lewat 20 minit dari biasa sempat membawa bekal air teh yang diminta dari ibunya, Nor Hasiah Ali, 56.

“Makcik kejutkan arwah anak dua kali pagi ini. Makcik pun pelik dan tertanya-tanya kenapa dia sukar nak bangun.

“Pagi ini dia minta buatkan air teh untuk diminum bersama tukang rumah lain. Nanti di tempat kerja dia akan letak ais untuk minum,” katanya semasa ditemui di tempat kejadian di Kampung Seterpa, Peringat, di sini.

Arwah Zulkifli dikatakan maut apabila motosikal Yamaha 125Z yang ditungganginya untuk ke tempat kerja di Kampung Padang Halban, Melor, di sini, dipercayai merempuh kereta Perodua Viva yang baru keluar dari rumahnya di tempat kejadian.

Mangsa mengalami pendarahan teruk di leher akibat terkena cermin kereta.

Nor Hasiah berkata, tidak banyak perubahan pelik yang ditunjukkan arwah, tetapi dia mengakui anak ketujuh daripada 11 adik-beradik tersebut adalah anak yang baik.

“Pada hari raya baru-baru ini, dia beri duit raya kepada anak-anak saudaranya. Nampak dia gembira raya tahun ini.

“Kalau ada duit, dia akan beri pada makcik untuk beli lauk, kalau tidak pun dia beli sendiri lauk mentah untuk dimasak,” katanya.

Lebih menyedihkan, sambil menangis, Nor Hasiah menyatakan dia bersyukur sempat memasak ayam goreng pedas kesukaan arwah semalam.

“Dia minta makcik masak ayam pedas. Katanya mek asyik masak ayam gulai dan goreng sahaja, tolonglah masak ayam goreng pedas.

“Sudah takdir dia pergi. Semalam dia makan nasi dengan berselera bersama ayam goreng pedas. Rupa-rupanya itu permintaannya yang terakhir,” katanya sambil mengesat air mata.