MH370: Serpihan Bahagian Sayap Akan Disahkan Minggu Ini – Australia

220
0
SHARE
SYDNEY: Australia pada Rabu berkata, pengesahan rasmi sama ada serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 atau tidak dijangka diketahui pada minggu ini.

Pada masa sama, ia mengulangi pendirian untuk terus mencari serpihan lain di pulau di selatan Lautan Hindi itu.

Pasukan pakar teknikal di Perancis telah mula menjalankan pemeriksaan terhadap serpihan ‘flaperon’ yang sebelum ini disahkan milik pesawat Boeing 777.

“Wakil Malaysia dan Perancis akan membuat kenyataan rasmi mengenai pengesahan terhadap flaperon pada minggu ini,” kata Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss.

Beliau menambah, seorang pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menyelaras pencarian terhadap pesawat MH370 akan terlibat dalam pemeriksaan serpihan sayap itu apabila kes mengenainya dibuka.

Kumpulan pakar yang terdiri daripada pihak Perancis, Malaysia, Boeing dan wakil dari China juga akan bersama-sama untuk menjalankan pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada serpihan itu adalah milik pesawat yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac tahun lalu. – AFP