MH370: “Kita Akan Dapat Kepastian Dalam Masa Dua Hari Lagi” – Aziz

166
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Kepingan logam, dipercayai sebahagian daripada badan pesawat penerbangan MH370 yang hilang yang ditemui di Pulau Réunion, Lautan Hindi ‘hampir pasti’ dari pesawat Boeing 777, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

“Flaperon itu adalah sama dengan yang pada pesawat Boeing 777. Ia hampir pasti,” kata beliau.

Abdul Aziz berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Ketua Penyiasat MH370 Datuk Kok Soo Chon.

Pasukan Malaysia sedang dalam perjalanan ke Pulau Réunion.

Abdul Aziz berkata, pasukan itu akan dapat membuat kesimpulan dalam masa beberapa hari sahaja lagi jika serpihan yang ditemui sememangnya milik pesawat MAS yang hilang.

“Kami telah menghubungi Pejabat Biro Siasatan dan Analisis (BEA), yang merupakan badan penyiasat Perancis untuk kemalangan dalam penerbangan awam, mengenai penemuan ini.

“Kami telah membuat perjanjian bahawa mereka akan membawa flaperon itu ke Paris, jadi pasukan kita akan bekerjasama dengan mereka dalam membuat pengesahan di Paris,” Bernama memetik Abdul Aziz sebagai berkata.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga ada bukti kukuh bahawa serpihan itu milik pesawat yang hilang.

Sementara itu, beberapa laporan berita berkata nombor siri telah dikesan pada flaperon itu.

Imej ‘close-up’ yang diambil oleh laman berita Reunion, Clicanoore menunjukkan nombor 657BB.

Manual penyelenggaraan pesawat Boeing 777 yang boleh didapati dalam talian menunjukkan bahawa nombor itu berkait dengan bahagian yang dinamakan panel Flaperon di sayap kiri pesawat.

Walau bagaimanapun, laporan berita lain mencatatkan nombor BB670 terdapat pada flaperon yang sama.

MAS atau Boeing tidak dapat mengesahkan perkara ini.

SHARE
Previous articleKPN Minta Orang Ramai Waspada Artikel Sarawak Report
Next articleKertas Pendakwaan Terhadap PM Bukan Daripada Pejabat Peguam Negara