Meterai TPPA Atau Tidak Terpulang Pada Parlimen – Mustapa

94
0
SHARE

PUTRAJAYA: Putrajaya masih belum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun rundingannya dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, keputusan menandatangani perjanjian perdagangan bebas itu hanya akan diputuskan Parlimen selepas sesi perbahasan mengenainya.

“Kita hendak bawa ke Parlimen, dan dibahaskan. Kita buat keputusan di Parlimen, maknanya mengundilah,” kata Mustapa pada sidang media khas mengenai TPPA di Putrajaya petang ini.

Katanya, beliau sudah bertemu menteri bertanggungjawab mengawasi perjalanan Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi mendapatkan keutamaan membentangkan kedudukan Malaysia berkenaan TPPA pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

“Saya sudah berunding dengan beliau dan Speaker (Dewan Rakyat). Saya hendak minggu pertama sidang untuk saya beritahu Parlimen di mana kita dengan TPPA,” katanya.

Parlimen akan bersidang bagi mesyuarat ke-3 penggal ke-3 bermula 19 Oktober sehingga 3 Disember depan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan Kabinet memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa berunding terma-terma TPPA.

Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan perlu memperhalusi keputusan mengenai TPPA sebelum menandatanganinya, sambil menambah, apa yang penting adalah mendahulukan kepentingan rakyat.