Mesyuarat Kabinet Hari Ini Digesa Sahkan Identiti MO1 – Kit Siang

39
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menjelang mesyuarat mingguannya hari ini, Lim Kit Siang mahu Kabinet membincangkan pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengenai identiti sebenar “Malaysian Official 1” yang dirujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Ketua Parlimen DAP itu berkata Datuk Seri Najib Razak juga perlu mengesahkan dirinya adalah MO1 seperti disebut Abdul Rahman, dan membenarkan polis membuka semula siasatan ke atas 1MDB dengan berlandaskan maklumat yang diperincikan dokuman DoJ Julai lalu.

“Apakah Kabinet akhirnya akan bertindak pada mesyuaratnya hari ini – 7 minggu selepas permohonan DoJ pada 20 Julai – bukan sahaja bagi menamatkan skandal kewangan global 1MDB yang sudah lama itu, tetapi membuktikan wujud patriot di kalangan menteri bagi mengambil langkah proaktif membersihkan reputasi Malaysia sebagai pusat kleptokrasi global?” soal Lim dalam kenyataannya hari ini.

“MO1” disebut 36 kali oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Julai lalu, dalam dokumen permohonannya mahu merampas aset berkait 1MDB bernilai lebih RM1 bilion susulan dakwaan salah laku dan kecurian dana.

Ia mengundang spekulasi MO1 merujuk kepada perdana menteri, walaupun Najib dan pemimpin Umno sehingga ini rata-rata tidak memberikan komen secara langsung mengenai perkara itu.

Pada 1 September, badan penyiaran Britain BBC memetik Abdul Rahman sebagai berkata identiti MO1 bukan sesuatu yang rahsia.

“Saya sudah nyatakan secara terbuka. Kalau dokumen (DOJ) itu dibaca, ia merujuk kepada perdana menteri,” katanya, yang menambah nama Najib tidak disebut kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan.

“Terdapat orang lain yang dinamakan… dan Jabatan Kehakiman akan membawanya ke mahkamah untuk membuat keputusan.”

Bagaimanapun, Lim berkata terdapat menteri lain yang masih tidak tahu siapa di sebalik MO1, termasuk rakan sejawat Abdul Rahman, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Noh Omar.

Katanya, alasan Abdul Rahman yang Najib tidak dinamakan dokumen tersebut kerana bukan merupakan sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa AS adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Katanya selain daripada 5 nama individu yang disebut DoJ – Jho Low, Raja Shahrir Aziz Abdul Aziz, Eric Tan, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny – terdapat beberapa nama samaran pegawai 1MDB, yang turut didakwa dalang kecurian dan salah guna dana syarikat milik negara itu.

Lim mempersoalkan sama ada tindakan DoJ tidak menamakan beberapa pegawai tinggi 1MDB bermaksud mereka juga bukan sasaran penyiasatan.

“Apakah ‘1MDB Officer 1, 2 dan 3’ juga akan mendapat kekebalan berhubung siri jenayah kewangan mereka seperti mana ‘Malaysian Official 1’, berdasarkan alasan palsu Abdul Rahman yang mereka tidak dinamakan secara langsung, dan oleh itu tidak menjadi sebahagian daripada siasatan agensi AS dan tidak perlu disiasat polis Malaysia dan agensi tempatan?”. – FMT