Melayu Masih ‘Hamba’ Ekonomi – MTEM

644
0
SHARE

Mohd_Nizam_MahsharOleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Orang Melayu akan terus menjadi ‘hamba’ dalam bidang ekonomi sekiranya tidak berubah untuk ke arah yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mahshar berkata, orang Melayu perlu merdeka dalam bidang ekonomi supaya nasib bangsa dapat diubah.

Katanya, sekiranya orang Melayu masih terpalit dengan masalah rasuah, pecah amanah dan perpecahan sesama sendiri selagi itu mereka tidak berkembang dalam bidang berkenaan.

“Ramai peniaga Melayu sukar bersaing dalam ekonomi dengan bangsa lain kerana beberapa perkara ini.

“Mereka lebih suka membuat urus niaga secara ‘Ali Baba’ sahaja dan perniagaan itu bukan untuk diwarisi,” katanya dalam Wacana Fikrah Ummah Ke-6 bertajuk Naratif Baharu Melayu di Ibu Pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Mohd Nizam berkata, untuk mengubah supaya orang Melayu berjaya dalam bidang ekonomi, tumpuan harus diberikan kepada generasi muda kerana golongan terbabit akan menjadi contoh di masa hadapan.

“Generasi muda harus membina jati diri yang tinggi. Kita harus menumpukan perhatian kepada golongan ini supaya kita dapat membentuk golongan Melayu yang berjaya dalam ekonomi,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan.