Media Sosial Boleh Jadi Ancaman Kepada Demokrasi – Najib

14
0
SHARE
Oleh: Izzuan Masron
KUALA LUMPUR: Pengamal media sosial di negara ini diminta berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap setiap status yang dimuat naik atau dikongsi menerusi Twitter dan Facebook.
Ini kerana menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terdapat banyak berita dan maklumat palsu yang berlegar di ruang maya yang dikhuatiri bertujuan menghasut rakyat dan mengugat keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, pengamal media sosial di negara ini diminta berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang ditulis mahupun dimuat naik, malah tidak perlu terlalu mempercayai setiap status tersebut.
Katanya, hal ini kerana terdapat banyak berita palsu menyebar luas di ruang maya tanpa fakta yang sah dan benar.
“Pakar strategi politik terkenal Amerika Syarikat menyifatkan (media sosial) sebagai ‘masalah politik terbesar’ di seluruh dunia.
“Rakyat Malaysia perlu mengambil serius perkara ini kerana kita tidak mahu sesiapa mengambil keputusan berdasarkan pembohongan, gangguan dan khabar angin,” katanya ketika merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017 petang tadi.
Najib kemudian memetik isu majalah Economist minggu ini yang turut mempersoalkan sama ada media sosial ancaman kepada demokrasi negara.
“Majalah itu berpendapat berita palsu sangat menjijikkan dan saya bersetuju dengan pandangan itu,” katanya.
Menurut Najib lagi, banyak pengguna media sosial dan blog yang menyebarkan pelbagai propaganda palsu seperti Malaysia bakal muflis, negara yang gagal dan sudah tiada demokrasi di negara ini.
Ironisnya tambah Najib, Bank Dunia telah mengiktiraf ekonomi negara sebagai semakin kukuh malah antara tertinggi di peringkat global dan Wharton School, Universiti Pennsylvania menyifatkan Malaysia sebuah negara yang terbaik untuk pelaburan.
Dalam kesempatan lain, Najib memberitahu kerajaan komited membangunkan ekonomi digital terhadap komuniti belia, industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan digital dan juga kumpulan B40.
“Kita dah peruntukkan RM1 bilion bagi menggalakkan aktiviti dan pembangunan melalui inisiatif ekonomi digital,” katanya lagi.