Maza Ingatkan Zamihan Henti “Kafirkan Orang”

190
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin sekali lagi mengingatkan Presiden Pertubuhan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Zamihan Mat Zain untuk meneruskan debat seperti yang dirancang 17 Feb ini.

Katanya beliau juga menyambut baik hasrat pihak Sinar Harian untuk menjadi penganjur utama, susulan keputusan terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mengadakan debat tersebut digantikan dengan program berskala kecil.

“Pihak Datuk Seri Shahidan Kasim pula kelihatan macam didesak oleh pihak tertentu untuk program ini dibatalkan. Akhirnya, beliau mengisytiharkan dibatalkan tetapi diganti dengan program berskala kecil.

“Pihak Dr Maza dengan ini menyatakan hanya setuju hadir program skala kecil dengan syarat adanya rakaman dan dibenarkan siaran langsung internet (livestreaming).

“(Malah) Pihak Sinar Harian pagi ini telah maklumkan, sudi untuk menjadi penganjur utama. Masa kekal seperti asal, dan tempat juga telah diperolehi dan akan dimaklumkan. In sha Allah jika berjaya, harap semua rakyat Malaysia dapat menontonnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Jelas Asri, sekiranya cadangannya itu gagal dipenuhi Zamihan, beliau sekali lagi membuat cabaran kepada presiden ASWAJA itu supaya hadir ke Perlis untuk berhujah.

“Jika beliau tetap enggan, maka marilah kita hidup dengan harmoni tanpa tuduhan pengganas, kafir, sesat, neraka dan seumpamanya kepada sesama muslim,” katanya.

Pada masa sama, Asri turut membidas tindakan Zamihan yang suka memberi alasan untuk mengelak daripada berhujah apabila kenyataan terbaharunya tidak mendapat jemputan berhubung debat tersebut.

“Lebih daripada itu, beliau menyatakan program hendaklah mendapat persetujuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beberapa syarat baru timbul. Kelihatan seakan kemungkinan tidak hadir di pihak beliau itu jelas,” katanya.

SHARE
Previous article“Siasatan Cepat Ke Atas Tun M Tapi Bisu Tentang Jho Low” – Khairuddin
Next articleSelepas Tonton “Ola Bola”, Nazir Razak Timbulkan Isu Rasuah, Perkauman