Mayat Jong-nam Dihantar Balik Ke HKL Kerana “Isu Teknikal”

40
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mayat Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dikembalikan ke rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan oleh isu “teknikal”, dalam proses penghantaran pulang ke Macau.

The Sun melaporkan mayat Jong-nam dibawa balik ke bilik mayat kira-kira 9.15 malam tadi, sehari selepas ia dikeluarkan oleh pihak hospital untuk penghantaran pulang.

Memetik sumber, akhbar harian itu melaporkan mayat dibawa ke terminal kargo KLIA, di mana ia sepatutnya dibawa ke Macau hari ini. Bagaimanapun disebabkan masalah teknikal kargo, ia kemudian dibawa semula ke rumah mayat.

Menurut sumber, penghantaran pulang mayat Jong-nam kepada keluarganya diuruskan oleh Wisma Putra pada Rabu ini.

Malaysiakini telah menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar Negara, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk mendapatkan respon mereka.

Jong-nam diracun dengan ejen saraf VX oleh dua wanita, ketika mahu menaiki penerbangan ke Macau di KLIA 2 pada 13 Februari lalu.

Lelaki itu meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dua wanita Doan Thi Huong dan Siti Aisyah, masing-masing dari Vietnam dan Indonesia, dituduh melakukan pembunuhan itu.