Mayat Empat Remaja Hilang Ditemui Dalam Sungai

316
0
SHARE
JOHOR BAHRU: Mayat empat remaja lelaki yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ketika dalam perjalanan ke Terengganu, ditemui dalam sebuah kereta berhampiran ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini.

Kereta Honda Accord itu ditemui dalam sungai oleh pekerja ladang berkenaan pada jam 9.20 pagi tadi sebelum menghubungi polis. Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata empat mayat dalam kereta itu dibawa ke Hospital Mersing, dekat sini.

“Kita masih menjalankan siasatan dan akan mendapatkan keterangan daripada pihak keluarga remaja berkenaan selepas membuat pengecaman.

“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kereta itu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.

Empat remaja itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, di sini, ke Terengganu untuk bercuti.

Semua mereka yang berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

Siasatan polis mendapati mereka bertolak dari Seri Alam, di sini, kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dengan menaiki kereta Honda Accord menuju ke Terengganu.

Mereka dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk bercuti ke lokasi yang masih belum diketahui secara tepat.

Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit.