Maulidur Rasul: Prinsip Perpaduan Perlu Terus Dijadikan Teras Kekuatan – Najib

96
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prinsip perpaduan perlu terus dijadikan teras kekuatan dan ketinggian martabat masyarakat Islam.

Beliau berkata kehidupan yang harmoni dan bersatu-padu menjadi paksi kepada kewujudan sesuatu ummah.

Perasaan keumatan inilah asas sejati perpaduan, silaturahim dan ukhuwah Islamiah manakala perpaduan pula adalah teras kekuatan dan kemuliaan umat ini, katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1437H esok, yang dimuatkan di laman blog najibrazak.com.

“Justeru, amatlah penting kita hayati perpaduan ini dan terjemahkannya dalam bentuk kesatuan kasih sayang dan tindakan praktikal, bermula dengan unit asas seperti keluarga, kejiranan malah ke peringkat negara dan antarabangsa,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata membina perpaduan merupakan antara Sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.

Najib menegaskan atas asas itu, kerajaan akan terus berusaha memakmurkan negara untuk muncul sebagai negara Islam yang maju dan berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa Maulidur Rasul disambut dua kali pada 2015, yang pertama pada Januari lepas.

“Pada 3 Jan lepas, kita menyambut Maulidur Rasul bagi 1436H dan esok 24 Dis kita meraikan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1437H. Alhamdulillah,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada umat Islam kerana baginda bersama para sahabat telah menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah.

SHARE
Previous articleApabila Tun M Menonton Star Wars Di Sunway Pyramid
Next articleTiada GST Ke Atas Amaun Tambah Nilai Touch ‘n Go