Mattel Perkenal Barbie Berhijab

17
0
SHARE

MATTEL memperkenalkan patung Barbie berhijab pertama, yang direka bagi memberi penghormatan kepada atlet bertudung pertama yang bertanding dalam sukan Olimpik Rio 2016, Ibtihaj Muhammad.

Patung unik itu dilancarkan sewaktu kemuncak acara ‘Glamour’s Women of the Year’ pada Isnin.

Ia dilancarkan menerusi rangkaian patung Shero, satu inisiatif untuk meraikan wanita yang berjaya menjangkaui tembok sempadan, menurut People.

Rangkaian Shiro turut menampilkan patung-patung yang dicipta bagi memberi penghormatan kepada Ashley Graham, Zendaya, Kristin Chenoweth, Emmy Rosum, Misty Copeland dan Avu DuVernay.

“Saya teruja dapat berkolaborasi dengan jenama yang saya tahu sering meraikan wanita hebat, yang berjaya memecah tembok sempadan dengan sasaran memberi impak kepada pemimpin masa hadapan.

“Peluang untuk bersama dengan anda dalam acara ini membuatkan saya berasa rendah diri dan saya begitu gembira dengan semua ini,” ujar Ibtihaj.

Pemenang pingat Olimpik itu bekerjasama dengan Mattel untuk mencipta patung tersebut yang dijangka akan dilancarkan pada musim luruh 2019.

“Ianya seperti satu revolusi apabila Barbie mempunyai patung berhijab yang pertama.

“Sebelum ini tidak pernah ada patung Barbie berhijab. Saya teruja dan saya pasti, gadis-gadis yang membeli patung ini akan mendapat inspirasi untuk berhijab juga.

“Untuk mereka yang bukan Muslim mereka juga boleh bermain dengan Barbie berhijab ini,” ujarnya lagi.

Ibtihaj merupakan atlet lawan pedang yang memenangi pingat gangsa mewakili pasukan Amerika Syarikat, dan dinobatkan sebagai atlet wanita Muslim-Amerika pertama yang memenangi pingat di Olimpik.