Masih Belum Ada Keputusan Berhubung Kedudukan Husam – Hadi

43
0
SHARE

KUALA TERENGGANU: Masih belum ada keputusan berhubung kedudukan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa selepas beliau dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya sudah mengarahkan jawatankuasa berkenaan untuk memanggil Husam bagi tujuan menjalankan siasatan tersebut.

“Arahan sudah dibuat untuk Jawatankuasa Disiplin panggil. Keputusan terpulang kepada mereka.”

“Selepas ini, jawatankuasa itu akan menentukan kedudukan Husam berikutan tindakannya yang terus mencabar dan mengkritik parti,” kata Hadi selepas Majlis Perasmian Pejabat Penyelaras Parlimen Pas di Kuala Terengganu, pada Khamis.

Keputusan untuk merujuk Husam ke Jawatankuasa Disiplin parti dicapai dalam Mesyuarat Kerja Pas Pusat yang diadakan pada Sabtu lepas.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli mesyuarat yang bersidang telah mengambil maklum tentang aduan tatatertib terhadap Husam.

“Mesyuarat berpandangan aduan tersebut mempunyai asas dan boleh dipertimbangkan tindakan tatatertib sebagaimana diperuntukkan perlembagaan Pas,” kata Tuan Ibrahim.

Tambah beliau, prosiding berkaitan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Tatatertib Parti yang dipengerusikan Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.