MAS Tawar Pilihan Kepada Penumpang Rayani Air

56
0
SHARE
SEPANG: Mulai hari ini, pemegang tiket penerbangan Rayani Air boleh menempah semula tiket yang dibatalkan itu menerusi Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Paul Simmons, berkata penumpang terbabit berpeluang menikmati potongan diskaun tambang berikutan penggantungan operasi Rayani Air.

Katanya, sebagai sebuah syarikat penerbangan negara dan warganegara yang prihatin, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memberi bantuan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penumpang Rayani Air.

“Dalam hal ini, kami menawarkan tambang istimewa kepada penumpang yang masih ingin meneruskan hasrat mereka untuk ke destinasi.

“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban penumpang yang terjejas dengan insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk menikmati tambang istimewa itu, penumpang terbabit perlu mengemukakan tempahan tiket Rayani Air melalui e-mel mereka sebelum ini, sebagai bukti.

Maklumat lanjut, kunjungi kaunter tiket Malaysia Airlines di seluruh negara atau hubungi 1-300-88-3000.

Promosi harga tambang murah itu bermula hari ini hingga 30 April ini, untuk perjalanan serta-merta sehingga 31 Julai ini.