Maria Chin Penyangak, Enggan Bayar Kos Pembersihan Bersih 4.0 – Rahman Dahlan

179
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Keengganan penganjur himpunan Bersih 4, Maria Chin Abdullah membayar kos pembersihan berjumlah RM65,000 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disifatkan sebagai penyangak yang menidakkan hak rakyat, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, Maria sepatutnya perlu menggunakan sumbangan dana RM2.4 juta yang diperolehnya mengikut saluran betul termasuk berkaitan kos pembersihan.

“Itu adalah wang rakyat, milik rakyat, hak rakyat dan seharusnya digunakan untuk apa jua berkaitan Bersih 4 termasuk bil pembersihan.

“Ini tidak, saya melihat dana tersebut disalah guna dan tidak 100% berkaitan perhimpunan itu sedangkan rakyat berharap wang tersebut digunakan sebaik mungkin,” katanya kepada akhbar itu.

Katanya, pengerusi Bersih 2.0 itu tiada alasan lagi untuk menidakkan bil berkenaan yang sepatutnya terkandung dalam sebahagian daripada perancangan selepas menganjurkan perhimpunan haram pada Sabtu dan Ahad lalu.

Rahman berkata, pihaknya tetap akan menghantar bil tuntutan kos pembersihan kepada penganjur tersebut selewat-lewatnya esok.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk DBKL diharap dapat menyerlahkan ketegasan terhadap mana-mana penganjur perhimpunan supaya menepati undang-undang serta tidak memberi beban kepada pihak lain.

Maria sebelum ini dilaporkan enggan membayar sebarang bil tuntutan kos pembersihan dan mencabar Rahman mengemukakan bukti pihaknya mengotorkan kawasan ibu kota negara.