MARA Tidak Akan Henti Biasiswa

72
0
SHARE
KOTA BAHARU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan menghentikan biasiswa kepada pelajar tajaannya di luar negara walaupun negara berdepan cabaran ekonomi ketika ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata walaupun peruntukan pendidikan MARA berkurangan sebanyak RM0.4 bilion iaitu RM1.7 bilion pada tahun ini berbanding RM2.1 bilion pada 2015, namun  agensi berkenaan akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menampung keperluan itu.

“Kita akan memastikan pelajar yang kita taja ini akan menamatkan pengajian mereka dan mendapat kemudahan-kemudahan seperti biasa sehinggalah tamat pengajian mereka,” katanya selepas merasmikan kursus kepimpinan pelajar anjuran Himpunan Mahasiswa Kelantan (Himsak) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Hadir sama Presiden Himsak Datuk Faizal Daud dan Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata antara langkah yang diambil bagi mencukupkan peruntukan pendidikan termasuklah menghentikan sementara pinjaman perniagaan kepada usahawan.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh Mara kononnya ‘melupakan’ tanggungjawab mereka untuk membantu golongan Bumiputera dalam bidang keusahawanan susulan tindakan itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru peminjam pendidikan Mara untuk membayar balik pinjaman mereka bagi memberi peluang kepada orang lain untuk mendapatkan bantuan pendidikan.

“Yang dah berjaya, tapi tak bayar lagi pinjaman ini, kena lakukan sesuatu sebab seolah-olah kita menidakkan hak anak-anak kita, adik-adik kita untuk dapatkan kemudahan pinjaman ini,” katanya.

SHARE
Previous articleMenteri Saudi Tak Fikir RM2.6 Billion Itu Sumbangan – Laporan
Next articleWawasan 2020 Tidak Akan Dicapai, Kata Salleh Kepada Tun M