Manny Pacquiao Umum Tanding Jawatan Senator

102
0
SHARE
MANILA: Juara tinju dunia Filipina yang juga anggota Kongres, Manny Pacquiao (gambar) mengumumkan hasrat bertanding kerusi Senat pada pilihan raya negara itu, tahun depan.
Pacquiao, antara individu paling dikenali di Filipina, petang kelmarin berkata beliau mahu bertanding untuk satu daripada 12 kerusi Mei depan. “Saya secara rasmi mengumumkan pencalonan saya untuk senator.
Saya bertanding untuk jawatan lebih tinggi. “Mungkin sudah tiba masanya, ini adalah kali pertama dalam sejarah kita memilih ahli Senat dari Wilayah 12,” kata Pacquiao kepada penduduk kawasannya, merujuk kepada satu daripada enam wilayah yang membentuk kepulauan Mindano. Pacquiao, 36, tidak memberitahu parti atau gabungan yang disertainya.
Politik di Filipina berasaskan sistem pelbagai parti yang sekian lama dikuasai puak berkuasa, selain selebriti filem dan bintang sukan. Pacquiao yang berpangkat Leftenan Kolonel dalam tentera simpanan, menarik perhatian warga negara itu hinggakan setiap kali ada perlawanan tinju membabitkan beliau disiarkan di TV, aktiviti seharian penduduk hampir terhenti.
Beliau kalah dalam pertarungan paling mahal dalam sejarah tinju kepada peninju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather, Mei lalu.
Pertarungan itu meletakkan kedua-dua peninju dalam senarai 100 selebriti menerima bayaran tertinggi Forbes. Sebagai anggota Kongres penggal kedua, Pacquiao terbabit dalam merumus 15 rang undang-undang, sebahagian besarnya berkaitan mempromosikan kebajikan sosial dan perkara berkaitan sukan.
Bagaimanapun, akhbar Philippine Daily Inquirer melaporkan awal tahun ini, Pacquiao cuma hadir empat sesi Kongres pada 2014, paling sedikit berbanding anggota Kongres lain. – Reuters
SHARE
Previous articleSidang Khas Parlimen Perlu Bincang TPPA
Next articlePAS Desak Putrajaya Hidupkan Semula Pasukan Khas Siasat 1MDB