Mangsa Banjir Melaka Terus Meningkat

15
0
SHARE

MELAKA: Mangsa banjir di sembilan pusat pemindahan termasuk dua yang baru dibuka di tiga daerah di negeri Melaka meningkat kepada 534 sehingga 11 malam ini.

Dua pusat pemindahan yang baru dibuka ialah di Surau Solok Bukit Baru di daerah Melaka Tengah dan Balai Raya Kampung Sungai Jeram di daerah Alor Gajah.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, jumlah itu melibatkan 135 keluarga.

“Sehingga malam ini kita buka lagi dua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir menjadikan keseluruhan tujuh di Melaka Tengah, satu di Alor Gajah, dan satu di Jasin.

“Buat masa ini antara pusat pemindahan dibuka di daerah Melaka tengah menempatkan 255 mangsa di SMK Munsyi Abdullah, 27 mangsa di balairaya Peringgit, 20 mangsa di RTC Paya Ikan, 29 mangsa di Sekolah Agama JAIM Tanjong Minyak, 83 mangsa di Projek Perumahan Krubong, dan 13 mangsa di satu pusat yang dibuka di Surau Solok Bukit Baru,” katanya.

Manakala di daerah Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tehel semakin bertambah kepada 61 mangsa setakat ini.

Bencana banjir kilat ini juga turut menjejaskan daerah Alor Gajah dengan sebanyak 15 mangsa dipindahkan di Balai Raya Kg Seri Jeram.

Ujar Effendy, kesemua mangsa banjir akan ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sehingga keadaan pulih dan keperluan asas termasuk makan minum akan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).