Malaysia Satu-Satunya Negara Diberi Klausa Pilihan Keluar Dalam TPPA

44
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diberi klausa pilih keluar dalam satu surat sampingan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Ketua Pakar Ekonomi Asian Development Bank, Jayant Menon.

“Ini sebenarnya membolehkan Malaysia menarik diri daripada TPPA walaupun tanpa cuba untuk meratifikasikannya di Parlimen. Tiada negara yang terlibat TPPA lain boleh melakukannya.

“Bagaimana Malaysia mampu memperolehnya, saya tidak tahu tetapi, saya fikir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan seorang perunding yang hebat,” katanya pada Forum Ekonomi Asean di sini, Jumaat.

Beliau berkata, Malaysia mungkin negara paling berjaya dalam memperoleh pengecualian dalam banyak aspek sensitif, termasuk perkara seperti perolehan kerajaan, pembaharuan perusahaan negara atau syarikat berkaitan kerajaan dan perlindungan dalam sesetengah bidang pembaharuan harta intelek.

“Dengan begitu banyak pengecualian, kemungkinan tiada masalah untuk Malaysia menyertai TPPA akhirnya,” katanya.

Bagaimanapun Jayant berpendapat, TPPA itu sendiri mungkin tidak menjadi realiti jika ia tidak diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat.

“Tiada jaminan ia akan direalisasikan. Republikan perlu disokong dalam jumlah yang besar memandangkan Demokrat telah menentangnya.

“Politik memainkan peranan besar ketika ini. Tiada jaminan TPPA akan mudah diluluskan Kongres. Kita hanya perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Jayant berucap sebagai anggota panel pada forum itu mengenai struktur perdagangan serantau yang semakin berkembang dan reaksi pasaran terhadapnya.

Mengenai Komuniti Ekonomi Asean (AEC), beliau bersetuju dengan Deklarasi Kuala Lumpur yang menyatakan ia bukan satu destinasi namun satu perjalanan, dan jangkaan yang adil terhadap penyempurnaan pelaksanaan AEC sepatutnya pada 2025.

Beliau berkata berdasarkan kajian terbaru, lebih banyak aktiviti dan program kesedaran mengenai AEC perlu dijalankan untuk meningkatkan profilnya.

Mengenai tonggak keempat AEC iaitu penyepaduan ke dalam ekonomi global, Jayant berkata ia menjadi bidang kejayaan Asean.

“Asean mampu menggunakan fahaman serantau untuk benar-benar mempromosi globalisasi.

“Asean sentiasa membuka pintunya. Perdagangan dalam negara Asean kian berkembang malah akan lebih berkembang dengan AEC,” katanya.

SHARE
Previous articleATM Sahkan Dua Anggotanya Ditahan Polis Bantu Siasatan Kes Tembak
Next articleLebih Ramai Mahasiswa Miskin Diberi Bantuan Makanan