Malaysia Raih Banyak Manfaat Daripada Perluasan ITA – Mustapa

57
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mendapat banyak manfaat daripada perluasan Perjanjian Teknologi Maklumat (ITA) susulan muktamadnya rundingan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rundingan dimuktamadkan semalam pada Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ke-10 di Nairobi, Kenya.

“Ia merupakan kejayaan yang penting dan bersejarah, dan kami berharap ini akan memberi inspirasi kepada kemajuan dalam bidang lain dalam rundingan WTO.

“Dengan liberalisasi pengembangan perdagangan yang seterusnya di bawah ITA 1996 yang asal, industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Malaysia akan mempunyai akses yang lebih mudah kepada pasaran yang lebih luas di peringkat global,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Malaysia dan 23 negara lain terlibat dalam rundingan itu yang termasuk kuasa besar pengeluar teknologi maklumat utama seperti China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara anggota ASEAN, yang terdiri kira-kira 90 peratus daripada perdagangan dunia.

Perluasan ini meliputi 201 produk ICT berteknologi tinggi dengan anggaran perdagangan tahunan global sebanyak US$1.3 trilion (AS$1=RM4.31), kira-kira 10 peratus daripada perdagangan barangan dunia.

Rundingan Perluasan ITA, yang bermula pada 2012, termasuklah litar bersepadu pelbagai komponen generasi baharu (MCO), skrin sentuh, peralatan navigasi GPS, peranti pendidikan elektronik interaktif mudah alih, konsol permainan video dan peralatan perubatan seperti produk pengimejan resonans bermagnet dan alat imbasan ultrasonik.

Mustapa berkata ITA yang asal merangsang perolehan industri ICT Malaysia kepada hampir tiga kali ganda berbanding AS$21.7 bilion pada 1996 kepada AS$60.5 bilion pada 2010, purata pertumbuhan tahunan sebanyak lapan peratus.

Beliau turut menggesa syarikat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya langkah-langkah liberalisasi pasaran dalam ITA.

“Kita akan melihat, misalnya, pengurangan yang besar dalam tarif bagi Kanada (88 peratus), dan AS (80 peratus), EU (77 peratus) dan Taiwan (64 peratus).

“Liberalisasi tarif melalui mekanisme ITA akan melengkapi matlamat integrasi ekonomi ASEAN, terutamanya sebagai hab serantau untuk kesalinghubungan rantaian nilai global,” katanya.