Malaysia Model Negara Islam Kekang Pelampau Agama

78
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi model untuk negara lain dalam menguruskan ancaman kumpulan pengganas dan pelampau agama berdasarkan tindakan yang sudah diambil dan dilaksanakannya.

Menurut laporan The Telegraph, United Kingdom, Malaysia berjaya mengekang ancaman pengganas dan kumpulan pelampau agama melalui usaha mengukuhkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Dasar ekonomi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula menampakkan hasil bukan sahaja di kawasan yang terjejas oleh pelampau Islam tetapi kepada negara secara keseluruhannya.

Pada tahun 1970, kadar kemiskinan tegar di Malaysia adalah sebanyak 50 peratus, kini dicatatkan pada kadar satu peratus.

Terkini, di bawah kepimpinan Najib, Malaysia memberi tumpuan untuk meningkatkan sekali ganda pendapatan 40 peratus kumpulan berpendapatan rendah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengikut laporan itu, Malaysia memperkenalkan program pembangunan ekonomi yang berjaya menarik golongan muda radikal untuk mengubah haluan mereka.

Selain itu, menurut The Telegraph kerajaan Malaysia mewujudkan keharmonian dalam masyarakat yang berjaya mengurangkan risiko yang ditimbulkan kumpulan pelampau dalam negara.

Laporan itu yang ditulis John Dauth itu turut menyatakan kerajaan Malaysia banyak belajar daripada pengalaman terdahulu berhubung ketegangan kaum seperti yang berlaku pada 1969.

“Bagi Malaysia, ancaman keganasan dan kumpulan pelampau itu adalah lebih daripada sekadar bahaya keganasan antarabangsa yang semua orang tahu, ia lebih daripada itu,” katanya.

Laporan itu turut menyebut, Malaysia sejak daripada rusuhan kaum 1969 tidak pernah jemu mengekang kumpulan pelampau agama dan aktiviti keganasan.

Malaysia nampaknya banyak belajar daripada pengamalannya dan terus berusaha menjadikan agenda ekonomi untuk mengekang kegiatan kumpulan pelampau agama dan keganasan.