Maksiat “Terbuka” Juga Perlu Diberi Perhatian – Maza

98
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menolak dakwaan beberapa pihak yang mengatakan beliau menyokong aspirasi kumpulan pesara penjawat awam G25.

Dalam satu kemas kini status di akaun Facebook yang dibuat malam tadi, beliau yang mesra disapa Dr. MAZA menyatakan, dakwaan yang dibuat golongan Syiah Saqqaf dan Ahbash itu sangat tidak berasas.

Menurut Dr. MAZA, masyarakat dapat melihat sendiri bagaimana beliau sering mengkritik secara terus kumpulan berkenaan, khususnya sikap tidak profesional mereka berhubung pertemuan tertutup dengan beberapa tokoh politik.

Beliau turut menjelaskan, pendiriannya tentang isu khalwat adalah sama, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan beberapa tahun lalu. Kata Dr. MAZA, beliau mengkritik tindakan sesetengah pihak yang hanya meletakkan kepentingan untuk mencari maksiat tertutup, sedangkan maksiat berleluasa secara terbuka tidak dibanteras.

Contoh maksiat terbuka yang dimaksudkan beliau ialah rasuah, salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin serta isu rumah tangga antara suami dan isteri.

Pembanterasan maksiat, kata Dr. MAZA, tidak salah, namun perlu dibuat dengan garis panduan tertentu. Sengaja mempublisitikan penangkapan pelaku maksiat secara tertutup adalah salah kerana ia bercanggah dengan syariat.

Dr. MAZA sebelum ini mengkritik reaksi tokoh-tokoh agama di negara ini berhubung isu yang dibangkitkan G25 kerana disifatkan sebagai ‘pilih kasih’, kerana terdapatnya perbezaan layanan apabila membicarakan isu mana yang harus diberi perhatian.- AWANI