Liputan PAU 2015 Sangat Terhad – Ku Nan

34
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Liputan media untuk Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015) akan dihadkan ekoran tindakan beberapa media yang memutar belit laporan, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut beliau lagi, media hanya dibenarkan membuat liputan sidang akhbar oleh naib presiden selepas mesyuarat tertutup.

“Bukan seperti perhimpunan agung sebelum ini,” katanya ketika diminta mengesahkan laporan bahawa media tidak dibenarkan membuat liputan semasa perhimpunan agung.

“Walau bagaimanapun, anda boleh buat liputan selepas selesai persidangan. Dua naib presiden akan memberikan sidang media harian. Setiap hari kami akan adakan sidang akhbar selepas bermesyuarat di bilik media,” katanya, Rabu.

Beliau juga berkata, petugas media tidak dibenarkan melaporkan ucapan atau perbahasan perwakilan parti.

Halangan itu terpakai untuk media arus perdana dan media alternatif.

Pas media masih akan dikeluarkan kepada mereka yang berdaftar supaya mereka boleh menghadiri sidang akhbar.

Sebelum ini, media telah diberi akses untuk membuat liputan acara dan sebahagian besar persidangan semasa perhimpunan agung parti.

Ini termasuklah ucapan dan perbahasan oleh pemimpin-pemimpin parti dan perwakilan peringkat bahagian.

Perhimpunan itu akan diadakan dari 8 hingga 12 Disember ini.